Rakyat Tidak Mahu Kehilangan Mohd Faizal Di Linggi – Ahmad Maslan
PORT DICKSON, 21 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli mempunyai peluang yang cerah untuk mengekalkan kemenangan berdasarkan sambutan positif yang diterima daripada rakyat.
Beliau berkata, hasil tinjauan dan pertemuan bersama penduduk tempatan sepanjang tempoh berkempen mendapati ramai pengundi mahu Mohd Faizal terus diberi mandat sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

“Pada Isnin kita telah bersarapan dengan rakyat, kemudian menziarahi penduduk dari rumah ke rumah termasuk mereka yang uzur dan bertemu beberapa individu berpengaruh bersama Ketua Bahagian yang juga calon kerusi DUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli, Ketua Puteri dan pemimpin tempatan.
“Kita berharap Linggi terus kekal milik Barisan Nasional (BN). Datuk Mohd Faizal mempertahankan kerusi ini, manakala Menteri Besar keluar daripada kawasannya sendiri di Sikamat untuk mencabar beliau di Linggi,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di Linggi merupakan satu percaturan yang kurang tepat memandangkan kawasan itu merupakan kubu tradisi UMNO/BN sejak sekian lama.
“Saya berpandangan beliau membuat perhitungan yang silap. Sepatutnya beliau kekal di Sikamat yang lebih selesa bagi beliau. Linggi ini kawasan UMNO/BN sejak dahulu lagi,” katanya lagi.
Mengulas mengenai sambutan rakyat, Ahmad berkata ramai pengundi yang ditemuinya menyuarakan hasrat agar Mohd Faizal terus dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi.
“Mereka beritahu Datuk Seri Aminuddin sudah pun Ahli Parlimen. Jika beliau tewas sekalipun, beliau masih seorang Ahli Parlimen. Sebab itu mereka tidak mahu kehilangan Datuk Mohd Faizal sebagai wakil rakyat di Linggi.
“Justeru, saya melihat beliau mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mengekalkan kedudukan sebagai ADUN Linggi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan seluruh jentera supaya tidak leka sepanjang tempoh berkempen biarpun wujud persefahaman politik dalam PRN Negeri Sembilan bersama Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, persefahaman pembahagian kerusi 25-11 antara BN dan PN merupakan satu strategi taktikal untuk mengelakkan perpecahan undi Melayu.
“Di Negeri Sembilan, jika undi Melayu berpecah, maka Dap yang akan memerintah. Sebaliknya, jika orang Melayu bersatu, maka UMNO/BN bersama rakan kerjasama berpeluang membentuk kerajaan negeri.
“Sebab itu kita melaksanakan persefahaman taktikal ini untuk memastikan BN kembali menerajui pentadbiran Negeri Sembilan,” katanya.
Untuk rekod, Mohd Faizal akan berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH), Aminuddin Harun, serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zambri Md Said.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
