Kembali Ke UMNO Demi Masa Depan Politik Melayu – Mohd Yussof
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menggesa Bersatu dibubarkan serta semua ahlinya kembali menyertai UMNO demi memastikan masa depan politik Melayu terus kukuh dan bersatu.
Menurut beliau, perkembangan politik semasa memperlihatkan Bersatu semakin kehilangan arah apabila berdepan pelbagai krisis dalaman selain hubungan yang semakin renggang dengan rakan dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas.
Beliau berkata, kekalahan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri Johor sehingga gagal memenangi sebarang kerusi membuktikan parti itu semakin hilang sokongan rakyat, sebaliknya, Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO berjaya mencatat kemenangan besar dengan menguasai 48 kerusi, sekali gus menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan UMNO.

Tambahnya, tindakan Pas yang menggerakkan sokongan kepada calon-calon BN di Johor turut memperlihatkan hubungan politik antara kedua-dua parti semakin matang demi kepentingan umat Melayu dan Islam.
Mengulas mengenai PRN Negeri Sembilan, beliau berpandangan keputusan Bersatu untuk bertanding menggunakan lambang sendiri membuktikan parti itu semakin terasing dan berdepan cabaran besar untuk meraih sokongan pengundi.
“Jika keadaan ini berterusan, Bersatu bukan sahaja berisiko kalah, malah berkemungkinan kehilangan deposit seperti yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini,” katanya.
Mohd Yussof yang juga Tokoh Melayu Terbilang 2017 menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai parti politik Melayu terbesar, paling berpengalaman dan mempunyai akar perjuangan yang kukuh dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata, majoriti pemimpin serta ahli Bersatu sebenarnya berasal daripada UMNO dan masih mempunyai perjuangan serta nilai politik yang sama.
“Oleh itu, sudah tiba masanya mereka kembali ke pangkuan UMNO. Parti ini telah membuka ruang kepada bekas ahlinya untuk kembali bersama memperkukuhkan perpaduan orang Melayu,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan Melayu supaya mengenepikan perbezaan serta sengketa lama demi membina kekuatan baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
“Politik Melayu memerlukan penyatuan, bukannya perpecahan. UMNO perlu terus menjadi tunjang utama yang menghimpunkan seluruh kekuatan orang Melayu bagi menghadapi cabaran politik masa depan,” katanya.
Beliau berkata, masih belum terlambat untuk Bersatu kembali kepada akar perjuangannya, dengan UMNO sebagai wadah utama yang mampu memimpin agenda politik Melayu secara lebih berkesan dan stabil. – UMNO Online
