Johor Henti Operasi NSO Malaysia, Pertahan Kedaulatan Undang-Undang
JOHOR BAHRU, 21 Julai – Kerajaan Negeri Johor menegaskan pendirian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang apabila menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan NSO Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) menghentikan semua operasinya di Forest City, berkuat kuasa 22 Julai 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan berkenaan dibuat mengikut proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.
Beliau menjelaskan tindakan penguatkuasaan hanya diambil selepas aduan dan maklumat disahkan, pemeriksaan dilaksanakan, ketidakpatuhan dikenal pasti serta semua proses perundangan disempurnakan.

“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan sebarang ketidakpatuhan dapat dikesan dan ditangani dengan lebih pantas serta berkesan.
Pada masa sama, Onn Hafiz menegaskan Johor kekal mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan pembangunan negeri.
Namun, katanya, tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
“Dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau apa-apa kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.
Beliau turut mengingatkan bahawa perkara berkenaan tidak boleh dipandang ringan memandangkan Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura, justeru sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen perlu ditangani segera, tegas dan tanpa kompromi.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri menggesa Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) meneliti semula status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat atau prinsip yang telah ditetapkan.
Selain itu, semua agensi berkaitan turut disaran memperketat proses due diligence, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi.
Menurut Onn Hafiz, penyelarasan antara agensi juga perlu terus diperkasakan supaya setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa dapat dinilai secara menyeluruh daripada aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis serta pematuhan terhadap undang-undang.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, tanpa berkompromi terhadap keselamatan, kedaulatan dan undang-undang negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua perkara berkaitan tindakan tersebut telah disembah maklum serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. – UMNO Online
