Hormati Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Sehingga Pilihan Raya

PERJANJIAN Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dimeterai pada 22 November 2022 atas asas-asas berikut:

1. Perjanjian ini dimeterai bagi menghormati dan menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat selepas lima hari Parlimen tergantung kerana tiada parti yang cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

2. Perjanjian antara Barisan Nasional dengan 30 Ahli Parlimen bersama Pakatan Harapan dengan 82 Ahli Parlimen, cukup-cukup 112 majoriti mudah untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 24 November selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

3. Pada 25 November 2022, parti-parti lain seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), WARISAN dan beberapa Ahli Parlimen Bebas bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan Malaysia menggenapkan 148 majoriti dua pertiga sokongan.

4. Perjanjian untuk bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia ini adalah sehingga Pilihan Raya Umum atau apabila penggal Kerajaan ini tamat. Dengan kata lain ia tidak mengikat mana-mana parti untuk menentukan hala tuju politik masing-masing apabila sampai tarikh pilihan raya.

5. Semua portfolio Menteri dan Pengerusi Agensi-Agensi Kerajaan hendaklah berasaskan persetujuan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan. Sebarang perubahan ataupun pengguguran mestilah mendapat persetujuan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

6. Semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan wajib menghormati prinsip-prinsip asas Perlembagaan terutamanya menyentuh kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.

7. Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia komited dan beriltizam untuk memastikan kestabilan politik dicapai, sama-sama memajukan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa meremehkan atau menafikan peranan mana-mana parti yang bersepakat membentuk Kerajaan Perpaduan.

Oleh itu, Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan akan terus berjalan dan berfungsi selagi mana semua parti menghormati intipati perjanjian yang telah dimeterai.

Justeru tidak perlu sebarang bentuk ugutan, tohmahan mahupun kata nista antara sesama parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun masing-masing membawa haluan berbeza di peringkat Pilihan Raya Negeri di Sabah, Johor mahupun Negeri Sembilan.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung UMNO

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO