Gelombang Kemenangan Mampu Diterjemah Di Negeri Sembilan
BAHAU, 21 Julai – Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diyakini mampu diterjemahkan di Negeri Sembilan sekiranya rakyat terus memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk menerajui pentadbiran negeri.
Pengerusi Parlimen BN Pagoh Datuk Ismail Mohamed berkata, rekod kepimpinan BN yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri menjadi asas keyakinan bahawa gelombang kemenangan tersebut mampu diteruskan.

“Saya harap gelombang kemenangan besar di Pilihan Raya Negeri Johor akan dibawa ke Negeri Sembilan. Kerana kita lihat kalau pemimpin UMNO dan Barisan Nasional diberi tempat, saya penuh yakin kita akan buat sebaik mungkin.
“Macam mana pemimpin di Johor buat, insya-Allah di Negeri Sembilan pemimpin kita akan menjaga masyarakat sebaik mungkin. Itu sebab saya merayu kepada pengundi di Negeri Sembilan supaya menyokong Barisan Nasional agar kita dapat meneruskan lagi usaha-usaha pembangunan dalam negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail turut menyeru seluruh jentera parti agar terus memperkukuhkan semangat permuafakatan dan memperhebat gerak kerja bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau dapat dirampas pada pilihan raya akan datang.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu, kejayaan BN menawan semula beberapa kawasan di Johor yang sebelum ini dianggap sukar dimenangi membuktikan tiada kerusi yang mustahil sekiranya seluruh jentera bergerak secara tersusun dan bersatu.
“Saya harap jentera terus bekerjasama untuk rampas DUN Bahau ini. Yang penting permuafakatan dalam gerak kerja dan kita memujuk pengundi putih sebanyak mungkin.
“Contoh di Johor, berapa kawasan yang kita pernah kalah begitu lama, tapi alhamdulillah kali ini kita menang, khususnya kawasan yang MCA bertanding.
“Jadi ini bukan satu yang luar biasa. Yang penting kita kena dekati pengundi, kita kena pujuk pengundi supaya mereka dapat bersama dengan kita. Yang penting niat kita untuk membantu masyarakat dan membawa pembangunan di kawasan yang mana kalau BN wakili, mudah untuk kita bantu rakyat,” katanya.
Justeru Ismail turut menegaskan bahawa kesatuan jentera, pendekatan yang dekat dengan rakyat serta komitmen untuk membawa pembangunan akan menjadi faktor penting dalam memastikan Barisan Nasional terus mendapat sokongan rakyat di Negeri Sembilan. – UMNO ONLINE
