Gelombang Biru Johor Mampu Dibawa Ke Negeri Sembilan – Mohd Jafni
KUALA PILAH, 21 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yakin gelombang kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor mampu diterjemahkan di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, pengalaman kemenangan besar BN di Johor menjadi pembakar semangat untuk seluruh jentera bekerja lebih keras bagi meyakinkan rakyat Negeri Sembilan agar kembali memberikan mandat kepada BN.
“Sudah tentu kita di Johor ini, kita rasa sangat bertuah dan bersyukur kerana sebelum ini jentera-jentera daripada Negeri Sembilan banyak membantu kita di Johor hingga mendapatkan kemenangan dan majoriti yang besar.
“Insya-Allah kita doakan kemenangan untuk Negeri Sembilan dan jadikan negeri ini gelombang biru seperti yang berlaku di Johor,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Sementara itu, Mohd Jafni turut berharap pengundi memberikan kepercayaan kepada BN untuk mentadbir negeri ini sekali gus memperoleh mandat penuh bagi meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat.
Kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor itu lagi, pengalaman luas dalam menjaga kebajikan rakyat menjadi antara kelebihan yang dimiliki BN dalam memastikan agenda kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan.
“Saya yakin dan percaya di dalam pentadbiran, struktur organisasi kepimpinan BN dan tentulah wakil-wakil rakyatnya akan memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Negeri Sembilan, insya-Allah.
“Kepada orang-orang muda, sudah tentu sampai masanya untuk beri mandat kepada Barisan Nasional. Sudah tentulah kita adalah sebuah parti selain mempunyai pengalaman, mempunyai keikhlasan dalam perjuangan,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
