Serang Pemimpin BN Bukti Parti Lawan Ketandusan Idea
KUALA PILAH, 20 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menyifatkan strategi kempen yang dimainkan parti lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai serangan peribadi tidak menawarkan penyelesaian kepada rakyat.
Beliau berkata pendekatan itu dilihat sama seperti yang digunakan pada PRN Johor sebelum ini apabila menjadikan pemimpin BN sebagai sasaran utama kempen.

“Amat bersimpati dengan Tony Pua serta pemikiran dan strategi Dap menjelang dua pilihan raya ini. Di Johor mereka menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakyat telah pun memberikan jawapan melalui peti undi.
“Sekarang mereka menyerang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dengan mendakwa jika BN menang di Negeri Sembilan, ia memberi ruang kepada beliau menjadi Perdana Menteri.
“Kenyataan seperti itu menghina kebijaksanaan pengundi kerana PRN Negeri Sembilan adalah untuk memilih kerajaan negeri, bukannya kerajaan Persekutuan,” katanya.
Megat Zulkarnain yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak turut berpandangan bahawa strategi tersebut menunjukkan Dap ketandusan idea untuk menawarkan dasar dan penyelesaian kepada rakyat sepanjang kempen pilihan raya.
Sehubungan itu, Megat berkata BN akan terus memberi tumpuan kepada tawaran dasar, perkhidmatan serta bentuk pentadbiran yang mampu dibawa kepada rakyat Negeri Sembilan.
“Pada saya, mereka sudah tidak ada idea bagaimana hendak berkempen dengan membawa penawaran kepada rakyat. Jika ada, mereka tidak akan menggunakan strategi seperti ini.
“Modal yang digunakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2022 tidak lagi berkesan, sebab itu mereka kembali kepada serangan peribadi.
“Kami di BN akan memberikan tumpuan kepada apa bentuk tawaran, apa jenis perkhidmatan dan kerajaan yang boleh kami tawarkan kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
