PRU16: Wanita UMNO Sepakat Mahu BN Tanding Secara Solo Di Langkawi
LANGKAWI, 20 Julai – Wanita UMNO Bahagian Langkawi sebulat suara menyokong usul supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), sekali gus mencerminkan keyakinan akar umbi terhadap kekuatan parti.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Hisham Suhaily Othman berkata, pendirian tersebut dizahirkan menerusi Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Langkawi yang berlangsung Sabtu.
Majlis perasmian mesyuarat itu telah disempurnakan oleh Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Menurut Hisham Suhaily, sebanyak empat usul utama telah dibentangkan dan menerima sokongan padu daripada para perwakilan, meliputi usaha memperkukuh UMNO sebagai Rumah Bangsa, menjunjung kasih kepada DYTM Tuanku melalui rayuan pengampunan penuh terhadap Datuk Seri Najib Razak, menjadikan Langkawi sebagai hab pendidikan dan kesihatan bagi merancakkan semula ekonomi serta usul agar UMNO dan BN bertanding secara solo pada PRU-16.
Beliau berkata, lebih membanggakan apabila kesemua 86 Wanita UMNO Cawangan di bahagian itu turut sebulat suara membawa usul yang sama bagi memastikan UMNO dan BN kembali bertanding atas kekuatan sendiri di Langkawi.
Dalam ucapannya, Hisham Suhaily menegaskan bahawa hasrat untuk melihat UMNO kembali bertanding secara solo bukan sekadar satu usul, sebaliknya merupakan amanah yang memerlukan komitmen serta tindakan daripada seluruh kepimpinan dan jentera parti.
“Seluruh kepimpinan dan jentera di peringkat cawangan perlu bekerja lebih kuat, merapatkan saf, mendekati rakyat serta mengembalikan keyakinan mereka kepada UMNO,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh ahli agar terus memperkukuhkan perpaduan, meningkatkan gerak kerja di peringkat akar umbi dan istiqamah dalam mendekati masyarakat.
“Insya-Allah, dengan kesatuan, kesungguhan dan kerja yang istiqamah, kita mampu mengembalikan kegemilangan UMNO serta memastikan kemenangan Barisan Nasional demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.- UMNO Online
