PRN: ‘Kempen Secara Berhemah, Tiada Kaitan Dengan Jawatan Menteri’

KUALA PILAH, 20 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan tiada keperluan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri dalam Kabinet disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata ini kerana PRN perlu menjadi platform untuk membentangkan agenda hala tuju negeri untuk kepentingan rakyat.

“Saya percaya bahawa sebenarnya tak perlu (letak jawatan) kerana ini adalah pilihan raya peringkat negeri.

“Sewajarnya perkara-perkara yang ada kaitan terutamanya negeri dan hala tuju negeri… memang tidak sewajarnya ia menjadi platform untuk berlakunya serang-menyerang.

“…seperti yang ditekankan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), kempen BN perlu secara berhemah,” katanya.

Khaled berkata demikian kepada media usai Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera BN Johol yang diadakan di Air Mawang, di sini, yang turut dihadiri calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman, Ahad malam.

Dalam pada itu mengulas gesaan Angkatan Muda Harapan (AMH) agar menteri dan timbalan menteri BN meletak jawatan susulan kerjasama dengan parti lain di Negeri Sembilan, Khaled menegaskan bahawa pelantikan anggota Kabinet adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri.

“Kita tahu bahawa soal pelantikan-pelantikan menteri itu adalah budi bicara Perdana Menteri.

“Jadi tidak payahlah dia nak suruh mana-mana menteri untuk lakukan letak jawatan dan sebagainya. Dia cakap sajalah dengan ketua parti dia,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO