Persidangan UMNO Labuan Angkat Suara Rakyat

LABUAN, 20 Julai – Pentas Persidangan Serentak Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Labuan Tahun 2026 dimanfaatkan sepenuhnya sebagai wadah untuk mengangkat suara serta denyut nadi rakyat Labuan melalui pelbagai usul dan perbahasan yang menyentuh isu-isu kehidupan masyarakat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, persidangan kali ini bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan parti, malah menjadi platform penting bagi menghimpunkan pandangan akar umbi demi memastikan suara rakyat terus diperjuangkan.

Menurut beliau, semua jurucakap yang mewakili pelbagai lapisan parti telah tampil membangkitkan pelbagai isu yang sedang membelenggu kehidupan rakyat Labuan.

“Persidangan UMNO tahun ini telah digunakan sepenuhnya untuk mengangkat suara dan denyut nadi rakyat Labuan. Pelbagai isu telah dibawa ke pentas perbahasan termasuk tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi rakyat khususnya golongan muda, pendidikan, kemudahan kesihatan, infrastruktur serta masa depan generasi muda Labuan.

“Inilah fungsi sebenar UMNO. Kita bukan sekadar berhimpun untuk berpolitik, tetapi berhimpun untuk membawa suara rakyat kepada pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan,” katanya mengulas hal terbabit selepas merasmikan Persidangan Serentak Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Labuan Tahun 2026, semalam.

Beliau berharap segala usul, pandangan dan rintihan yang dibangkitkan sepanjang persidangan itu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan demi kepentingan rakyat Labuan.

“Rakyat Labuan tidak meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya mahukan hak mereka dipenuhi, pembangunan yang adil serta penyelesaian segera terhadap pelbagai masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama,” ujarnya.

Mohd Rafi turut menegaskan bahawa UMNO Labuan akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat tanpa mengira kedudukan parti sama ada berada dalam kerajaan mahupun sebagai pembangkang.

“Perjuangan kami tidak akan terhenti selagi masih ada rakyat yang memerlukan pembelaan. UMNO akan terus komited membawa aspirasi rakyat dan memastikan setiap denyut nadi masyarakat didengari oleh pihak berkepentingan,” katanya.

Persidangan yang dihadiri lebih 1,200 perwakilan, pemerhati dan ahli UMNO itu turut memperlihatkan komitmen tinggi seluruh jentera parti dalam memperkukuhkan perpaduan serta memperkasakan perjuangan demi masa depan rakyat dan pembangunan Labuan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO