Kekalkan Semangat Juang, Tekad Birukan Negeri Sembilan

PORT DICKSON, 20 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin menyeru seluruh jentera untuk mengekalkan semangat juang bagi memastikan tekad ‘membirukan’ Negeri Sembilan dapat dijayakan sepenuhnya.

Ujarnya, pergerakan jentera untuk Parlimen Port Dickson adalah amat penting agar Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan yang memberangsangkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

“Alhamdulillah pada Sabtu telah berlangsung pelancaran jentera oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Saya nampak semangat jentera di Parlimen Port Dickson yang melibatkan lima DUN ini, Insya-Allah kita akan berjaya.

“Kita kena ingat pesanan Datuk Onn Hafiz, pergerakan jentera di kesemua lima DUN untuk kita menang di tiga DUN dan membantu parti-parti lain yang bersefahaman dengan kita di Parlimen ini.

“Insya-Allah saya yakin dengan kehadiran jentera yang sebegitu besar, ketiga-tiga calon kita akan menang dan kita akan dapat membantu dua lagi di Port Dickson.

“Saya yakin semangat mereka ini meskipun baru hari pertama… dalam masa dua minggu lagi, semuanya akan berakhir dengan semangat daripada Johor yang akan dapat datang ke Negeri Sembilan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, tidak mustahil untuk memastikan Negeri Sembilan kembali ditadbir oleh BN sekiranya para jentera mengekalkan semangat mereka sehingga hari pengundian.

“Saya nampak memang tak mustahil untuk kita ‘birukan’ Negeri Sembilan. Tetapi, semangat itu perlu dikekalkan selama lebih kurang dua minggu daripada sekarang.

“Jangan marah-marah macam orang lain. Kita kekal bertenang, buat kerja dan jaga jentera. Insya-Allah rakyat nampak. DUN Linggi di bawah Datuk Mohd Faizal Ramli ini memang selalunya kita menang.

“Kita kalah di empat DUN lain tetapi insya-Allah kita akan menang balik kesemua lima DUN di Parlimen Port Dickson. Saya yakin bahawa Negeri Sembilan akan biru.

“Kepada jentera… fokus kepada rakyat, terangkan kepada mereka dengan jelas bahawa kitalah yang boleh membantu mereka. Rakyat sudah cukup bijak untuk menilai siapa saja yang dapat menunaikan janji-janji mereka,” katanya lagi.

Untuk rekod, Mohd Faizal akan berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun, serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zambri Md Said.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO