Isu KWAP Rugi RM200 Juta: Dedahkan Hasil Siasatan Penuh Secara Telus

KERUGIAN hampir RM200 juta yang dialami oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) akibat diperdaya dalam urusan pelaburan, jujur saya katakan bahawa saya amat terkilan dan terkejut.

RM200 juta ini bukannya angka yang kecil. Ini bukan duit poket mana-mana menteri, tetapi ini duit amanah milik para pesara yang telah berkhidmat bertahun-tahun untuk negara. Dana sebesar ini sepatutnya dilindungi dengan sistem tadbir urus dan kawalan risiko yang paling ketat.

Bagaimana wang sebanyak ini boleh “terlepas” begitu sahaja? Perkara ini menimbulkan tanda tanya yang sangat besar terhadap tahap kecekapan dan mekanisme kawal selia institusi kewangan negara kita hari ini.

Persoalan utama saya ringkas sahaja: Bagaimana isu sebesar ini boleh berlaku di bawah Kerajaan MADANI yang hari-hari melaungkan slogan integriti, ketelusan, dan tatakelola terbaik?

Sebagai Menteri Kewangan, YBM Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh sekadar berdiam diri atau melepaskan batok di tangga dengan menyerahkan isu ini bulat-bulat kepada siasatan dalaman semata-mata. Beliau memegang tanggungjawab politik tertinggi. Rakyat mahu tahu pusingan sebenar cerita ini dan apa punca kerugian, siapa yang cuai, di mana silapnya sistem, dan apa jaminan kerajaan supaya duit pesara tidak terus lesap pada masa akan datang?

Apa yang lebih menyakitkan hati rakyat ialah sikap dwi-standard (double standard) yang cukup ketara.

Kita semua belum lupa. Semasa zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dahulu, apa-apa sahaja isu kewangan yang timbul terus dijadikan modal politik saban hari.

Beliau dihukum di “mahkamah persepsi” terlebih dahulu sebelum proses perundangan selesai. Masa itu, naratif yang mereka bawa cukup megah kononnya seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan wajib bertanggungjawab sepenuhnya atas apa jua kelemahan institusi di bawahnya.

Namun, bila senario yang sama melanda pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, kenapa nadanya bertukar secara mendadak? Mana pergi desakan moral yang garang seperti dahulu? Kenapa seolah-olah ada usaha untuk mengecilkan isu kerugian RM200 juta ini?

Adakah prinsip akauntabiliti ini berubah-ubah mengikut siapa yang duduk di kerusi kuasa? Adakah prinsip integriti ini sekadar retorik manis sewaktu menjadi pembangkang, tetapi dilupakan terus sebaik sahaja memegang tampuk kerajaan?

Rakyat memerhati. Bila layanan berbeza diberikan mengikut kepentingan politik, kepercayaan rakyat terhadap slogan “Reformasi” dan Kerajaan MADANI akan terhakis dengan sendirinya.

Kalau kita lihat rekod sejarah pengurusan KWAP sendiri:

  • Tahun 2008 hingga 2017 (Pentadbiran terdahulu): Dana KWAP melonjak daripada RM52.04 bilion kepada RM140.8 bilion, peningkatan lebih 170%. Fokus waktu itu jelas, iaitu mengembangkan dana persaraan melalui pelaburan jangka panjang, sementara pencen dibayar menerusi peruntukan tahunan Kerajaan Persekutuan.
  • Sejak 2018 hingga kini: Kementerian Kewangan sendiri mengesahkan bahawa kerajaan telah mengeluarkan RM20.5 bilion daripada dana KWAP untuk menampung bayaran pencen tahunan.

Ini bermakna, Kerajaan hari ini bukan sahaja berdepan cabaran isu pelaburan yang meragukan, malah bergantung kepada dana simpanan KWAP untuk menampung komitmen semasa. Dalam keadaan yang agak genting ini, wajarkah kerugian RM200 juta diabaikan begitu sahaja tanpa sebarang kebertanggungjawaban politik?

Justeru, saya mendesak Kerajaan MADANI:

  1. Dedahkan hasil siasatan penuh secara telus kepada umum.
  2. Ambil tindakan tegas dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuai atau salah guna kuasa.
  3. Buktikan integriti melalui tindakan rasmi, bukannya sekadar ceramah dan slogan.

Jangan tegas apabila menjadi pembangkang, tetapi senyap dan defensive apabila sudah menjadi kerajaan. Buktikan apa yang dikata. Rakyat sedang menilai, dan rakyat tidak akan lupa.

 

Dato’ TPr Abd Razak Abd Rahman
Ketua UMNO Bahagian Kepong

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO