Gelombang Biru Mampu Sampai Ke Kedah, Tolak Pertelingkahan Politik – Suraya

PENDANG, 20 Julai – Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob yakin kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan UMNO di Kedah sekiranya seluruh jentera parti terus memperkukuhkan gerak kerja dan mendekati rakyat dari sekarang.

Beliau berkata, kemenangan 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor membuktikan sokongan rakyat terhadap BN bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Gelombang Biru bukan datang kerana tuah, tetapi lahir daripada kerja keras, kesatuan dan keikhlasan berkhidmat. Jika Johor boleh bangkit, tidak mustahil Kedah juga mampu mengulangi kejayaan yang sama,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pendang baru-baru ini.

Menurut beliau, antara resipi utama kejayaan BN di Johor ialah pemimpin yang sentiasa turun padang, memberikan khidmat tanpa mengira musim pilihan raya serta memastikan setiap permasalahan rakyat diberi perhatian.

Sehubungan itu, Suraya menyeru seluruh jentera UMNO termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri supaya menggerakkan usaha mendekati masyarakat secara konsisten, memperkukuh penyampaian di media sosial serta memperbanyak program bersama rakyat.

“Gelombang tidak dibina dalam sehari. Ia bermula dengan kerja yang istiqamah, perpaduan dalam parti dan kesungguhan membantu rakyat tanpa henti,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa rakyat Kedah mahukan penyelesaian terhadap isu-isu asas seperti bekalan air, tebatan banjir, kos sara hidup dan kebajikan pesawah, bukannya pertelingkahan politik yang tidak membawa manfaat.

Beliau percaya UMNO Pendang mampu kembali meraih keyakinan rakyat sekiranya terus memainkan peranan sebagai parti yang sentiasa bersama masyarakat, mendengar keluhan mereka dan mencari penyelesaian kepada setiap permasalahan.

“Gelombang Biru Johor boleh sampai ke Kedah. Kuncinya ialah kita bekerja mulai hari ini, memperkukuhkan perpaduan dan terus berkhidmat kepada rakyat,” tegas beliau yang juga Setiausaha Penerangan UMNO. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO