“Dalam PRN Ini Perlawanan Antara Parti Dengan Parti” – Ahmad Maslan
PORT DICKSON, 20 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah persaingan antara parti-parti politik yang bertanding dan bukannya perlawanan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, pemimpin parti mempunyai hak untuk mengkritik parti lain yang menjadi lawan dalam pilihan raya tanpa menjejaskan kedudukan mereka dalam Kerajaan Perpaduan.

“Nasihat Perdana Menteri ialah jangan ‘membantai’ Kerajaan Perpaduan. Saya tidak membantai Kerajaan Perpaduan, saya mengkritik Dap. Kita berlawan dalam pilihan raya ini adalah parti dengan parti, bukan dengan Kerajaan Perpaduan.
“Tidak salah pemimpin parti mengkritik pemimpin parti. UMNO boleh mengkritik Dap sebagaimana Dap mengkritik UMNO. Itu adalah perkara biasa dalam politik dan kempen pilihan raya,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa pemimpin yang mengkritik parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu melepaskan jawatan dalam agensi atau pentadbiran kerajaan.
Jelasnya, kritikan yang dibuat adalah terhadap parti politik dan bukannya terhadap kerajaan yang dibentuk melalui gabungan 18 parti.
“Mungkin ada yang menjadi Pengerusi MARA, Pengerusi RISDA, Pengerusi FELCRA atau Timbalan Menteri. Itu tidak bermakna mereka tidak boleh mengkritik parti lawan dalam pilihan raya.
“Kita perlu faham perbezaannya. Parti mengkritik parti. Itu yang saya mahu semua jentera dan rakan-rakan yang turun berkempen faham,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat membawa naratif yang tepat sepanjang tempoh berkempen agar tidak timbul salah faham mengenai pendirian parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Tegasnya, kritikan terhadap Dap tidak boleh disamakan dengan mengkritik Kerajaan Perpaduan kerana ia merupakan gabungan yang dianggotai 18 parti politik.
“Takkan pemimpin Dap kena letak jawatan kerana dia mengkritik UMNO? Jadi kita berlawan dalam PRN ini perlawanan antara parti dengan parti. Tidak salah parti mengkritik parti,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
