Persefahaman Politik: PH Boleh, Bila BN Salah? Gulam Bidas AMH

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar mempersoalkan sikap Angkatan Muda Harapan (AMH) yang mengkritik persefahaman politik Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri, sedangkan Pakatan Harapan (PH) sendiri menerima situasi sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut beliau, timbul persoalan sama ada persefahaman politik hanya dianggap boleh diterima apabila melibatkan PH, namun menjadi sesuatu yang salah apabila dilakukan oleh BN.

“Adakah apabila BN melakukan persefahaman di peringkat negeri menjadi perkara salah dan berdosa.

“Jika di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah boleh pula PH menerima UPKO dan Warisan sebagai pihak penentang yang kedua-dua juga rakan dalam Kerajaan Perpaduan di bawah teraju PMX (Perdana Menteri Kesepuluh). Bila BN buat salah pula,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan AMH supaya semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama, Gulam menegaskan BN tidak pernah berganjak mementingkan kestabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dengan bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Barisan Nasional yang mempunyai 30 kerusi Parlimen yang “disunting” oleh Pakatan Harapan (PH) selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengambil keputusan politik untuk bersama membentuk kerajaan demi kestabilan politik buat negara kita.

“BN melalui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sudah nekad dan berulang kali memberitahu BN tidak akan sekali-kali mengikari janji untuk keluar dari kerajaan. BN akan putuskan persefahaman politik yang baru selepas Dewan Rakyat dibubarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Gulam berpandangan sekiranya AMH benar-benar mahu mengubah landskap politik negara, mereka sepatutnya mendesak supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan mandat baharu dikembalikan kepada rakyat.

“Cadangan saya lebih baik AMH suruh bubar Parlimen daripada mengakibatkan ketidak tentuan kestabilan politik jika 30 AP (Ahli Parlimen) BN menarik diri dari blok kerajaan yang kini cuma ada tinggal 152 sahaja.

“Jika 152 AP – 30 AP, blok kerajaan hanya ada 122 sahaja yang belum lagi ditolak AP dari geng Hiruk dan mesra Parti Bersama yang pasti akan hilang 2/3 majoriti dan membuatkan kestabilan politik negara kita berada dlm keadaan ketidaktentuan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan AMH sebagai tidak matang kerana dibuat tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap pentadbiran negara.

“Akhir kata, Kenyataan AMH ini membuktikan mereka punya “otak yang letak di luar tempurung kepala”.

“Berfikir tanpa memikir akibatnya. BN sentiasa mendokong dan memastikan kerajaan pusat berfungsi dengan baik dan stabil,” tegasnya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO