Mohamed Khaled Prihatin Aspirasi Generasi Kedua FELDA Air Tawar 2

KOTA TINGGI, 19 Julai – Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meneruskan komitmennya dalam memperkukuhkan pembangunan komuniti apabila mengadakan pertemuan kali kedua bersama wakil Generasi Kedua FELDA Air Tawar 2, di sini.

Menteri Pertahanan itu berkata, pertemuan itu menjadi platform penting untuk mendengar sendiri pandangan, cadangan dan aspirasi masyarakat, khususnya generasi kedua FELDA yang sentiasa memainkan peranan dalam pembangunan komuniti setempat.

Menurut Mohamed Khaled lagi, sebagai wakil rakyat, pintu sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang mempunyai hasrat sama untuk membangunkan kawasan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Selaku Ahli Parlimen Kota Tinggi, saya sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan, cadangan serta membantu mana-mana pihak yang mempunyai hasrat yang sama dalam membangunkan kawasan dan komuniti setempat.

“Segala pandangan dan usaha yang dibawa mestilah seiring dengan hasrat serta kepimpinan di setiap peringkat, kerana pada akhirnya matlamat kita tetap sama, iaitu membangunkan komuniti dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO, kejayaan membangunkan sesebuah komuniti memerlukan semangat kesepakatan, kerjasama dan persefahaman antara semua pihak.

Beliau yakin dengan komitmen yang berterusan daripada masyarakat serta sokongan pelbagai pihak, FELDA Air Tawar 2 mampu terus berkembang sebagai sebuah komuniti yang lebih maju, progresif dan sejahtera.

“Insya-Allah, melalui semangat kesepakatan dan kerjasama yang berterusan, kita mampu bersama-sama membangunkan Felda Air Tawar 2 demi kesejahteraan seluruh masyarakat,” katanya.

Pertemuan tersebut mencerminkan pendekatan kepimpinan yang mengutamakan libat urus bersama masyarakat dalam memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara inklusif dan memberi manfaat kepada penduduk setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO