Jadi Kerusi Tumpuan, Mohd Faizal Tekad Pertahan DUN Linggi
PORT DICKSON, 19 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) dan juga penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli bertekad untuk mempertahankan kerusi tersebut dari dirampas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Port Dickson berkata, ia adalah satu amanah untuk memastikan kerusi tersebut kekal menjadi milik BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Seperti yang semua sedia maklum, kerusi N32 Linggi ini menjadi kerusi tumpuan bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi di seluruh negara.
“Jadi, selepas pengumuman calon tadi dan mengesahkan pertandingan beliau, saya selaku penyandang di DUN Linggi akan ditentang oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan juga calon PPBM.
“Tetapi, saya melihat bahawa cabaran itu memang besar. Panas tak panas, kita tetap kena harungi juga. Ini adalah satu amanah dan juga tanggungjawab yang telah diberikan oleh presiden parti untuk memastikan BN kekal di Linggi,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, beliau yakin dan percaya dengan segala usaha yang telah dilakukan selama tiga tahun untuk mengekalkan kerusi DUN Linggi di bawah BN.
“Walaupun ia cabaran besar, pada saya itu adalah satu pencetus semangat kepada kita. Ini kerana dia nak merampas kerusi kita dan saya termasuk seluruh jentera BN juga bersemangat nak mempertahankan kerusi ini daripada dirampas.
“Insya-Allah, saya yakin dan percaya dengan usaha-usaha yang telah saya buat selama tiga tahun. Terkini, apabila kita nak menghadapi pilihan raya, semua jentera ‘all out’ berjumpa dengan pengundi-pengundi untuk memastikan mereka memberi mandat kepada kita.
“Kepada semua jentera, walaupun kita telah bergerak lebih awal, saya yakin dan percaya mereka akan lebih bersemangat sehingga hari pengundian pada 1 Ogos nanti. Insya-Allah, mereka ini umpama satu keluarga besar dan juga tulang belakang kepada saya yang ingin melihat BN kekal di Linggi,” katanya lagi.
Untuk rekod, Mohd Faizal akan berdepan saingan tiga penjuru, selain Aminuddin adalah calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zambri Md Said.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
