Hasrunizah Tekad Perkasa Agenda Wanita, Keluarga Demi Bangsa Johor
JOHOR BAHRU, 19 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan beriltizam untuk terus memperkukuhkan agenda pembangunan wanita, institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat selepas diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor.
Beliau berkata, amanah yang diterima bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya membawa tanggungjawab besar untuk memastikan dasar serta inisiatif kerajaan negeri terus memberi manfaat kepada rakyat.
Hasrunizah turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas limpah perkenan dan kepercayaan yang diberikan.
Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kepercayaan dan sokongan yang membolehkan beliau memikul tanggungjawab tersebut.
Menurut Hasrunizah, beliau akan melaksanakan amanah berkenaan dengan penuh integriti, keikhlasan dan komitmen, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk terus memperkukuh kebajikan rakyat serta membangunkan Bangsa Johor.
“Insya-Allah, saya akan terus bekerja keras dan memberikan komitmen terbaik dalam memastikan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya.
Beliau turut memohon doa agar sentiasa diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam menggalas tanggungjawab tersebut serta terus menyumbang kepada kemakmuran Johor di bawah kepimpinan kerajaan negeri.- UMNO Online
