Wan Rosdy Iringi Tiga Calon BN Di Jelebu
JELEBU, 18 Julai – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bermula pagi ini di mana lapan Pusat Penamaan Calon mula dibuka pada jam 9 pagi di seluruh negeri.
Berdasarkan tinjauan UMNO Online di Jelebu, kehadiran jentera dan penyokong Barisan Nasional (BN) sejak awal jam 7 pagi di tempat berkumpul berhampiran Pusat Penamaan Calon, jelas memperlihatkan tahap sokongan serta komitmen mereka bagi memastikan kemenangan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Pertang dan Sg Lui.

DUN Chennah diwakili Siong Kong Choon; Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias; dan Sungai Lui Siow Datuk Mohd Razi Mohd Ali.
Kesemua calon BN itu diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Md Alwi Che Ahmad, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi BN Terengganu Datuk Rozi Mamat.
Hadir sama barisan kepimpinan parti komponen BN.
Sesi perarakan yang dihadiri kira-kira seribu lebih jentera dan penyokong daripada pelbagai kaum bermula dari tempat berkumpul berlangsung dengan meriah dan penuh bersemangat, ditambah pula dengan cuaca yang redup.
Ketiga-tiga calon BN itu memasuki pusat penamaan calon di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini menghampiri jam 9 pagi.

Bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi, untuk mengemukakan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan secara rasmi.
Tempoh sejam yang diperuntukkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses penamaan calon tidak mematahkan semangat jentera dan mereka tetap tidak berganjak untuk terus berada di kawasan yang ditentukan oleh pihak berkuasa dengan laungan ‘hidup BN’ dan diselang-seli dengan nyanyian lagu ‘inilah barisan kita’, diiringi paluan gendang.
SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos. – UMNO ONLINE
