Tidak Perlu Gunakan Isu Adat Sebagai Bahan Kempen – Tok Mat Hasan

REMBAU, 18 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan semua pihak untuk tidak menggunakan isu adat sebagai bahan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan merangkap Timbalan Presiden UMNO berkata, adat perlu dihormati dan mencampur adukkannya dengan politik bakal mengusutkan lagi keadaan.

“Saya dah terangkan dan telah berpesan supaya dalam tempoh berkempen ini kita jangan sentuh tentang adat. Adat perlu kita hormati kerana ia bersendirian.

“Jangan kita campur adukkan dalam politik, terutamanya semasa berkempen kerana ini akan mengusutkan lagi keadaan. Kita tak perlu menggunakan isu adat ini sebagai kita punya bahan kempen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas proses penamaan calon di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar jentera menjalankan gerak kerja secara tersusun untuk memenangkan calon-calon BN.

“Sebentar tadi telah pun selesai proses penamaan calon bagi empat DUN di dalam Parlimen Rembau iaitu Paroi, Rantau, Chembong dan Kota.

“Semuanya telah pun selesai dan proses penyerahan borang pencalonan… semua diterima, tidak ada yang ditolak. Jadi, Rantau dan Chembong ada dua calon manakala Paroi dan Kota ada tiga calon.

“Jadi, Insya-Allah selepas ini proses untuk kita… masa yang digazetkan untuk berkempen akan bermula. Jadi saya harap supaya rakan-rakan jentera dan para petugas daripada BN dapat menjalankan gerak kerja tersusun, untuk menghasilkan keputusan yang baik.

“Jadi, tak banyak. Hanya ‘two-corners’ ataupun ‘straight fight’ sahaja. Dulu di Rantau sampai lima orang penjuru. Jadi, tahun ini kali ini senang, satu lawan satu. Jadi, taklah apabila berkempen tu kucar-kacir sangat,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau turut berharap agar semua pihak dapat berkempen secara sihat.

“Harapan saya ialah supaya kita berkempen secara sihat. Apa yang pentingnya kita dapat menyampaikan hasrat, manifesto yang akan dilancarkan BN nanti dan menerangkan kepada rakyat betapa pentingnya untuk mereka memberikan sokongan kepada BN pada 1 Ogos nanti untuk memberikan semula mandat kepada BN, Insya-Allah.

“Fokus kita sepanjang PRN ini, apa yang perlu saya lakukan ialah untuk memastikan supaya gerak kerja jentera disusun dengan baik dan saya perlu membantu rakan-rakan yang lain.

“Namun dalam masa yang sama, hari Isnin sampai hari Khamis saya terpaksa pergi ke Manila untuk saya menghadirkan diri mewakili negara bagi Mesyuarat ASEAN, Menteri-Menteri Luar ASEAN.

“Banyak mesyuarat penting, terutamanya sekarang dalam geopolitik dunia yang tidak menentu. Malaysia merupakan ‘coordinating country’ dengan China. Jadi, saya perlu mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan untuk kita pastikan suara dan kepentingan serta hak kedaulatan Malaysia akan terus dapat kita pertahankan, Insya-Allah,” katanya lagi.

Untuk rekod, DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN dengan 14 kerusi dan PN lima kerusi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO