Gelombang Biru Telah Datang Ke Negeri Sembilan – Ahmad Zahid
REMBAU, 18 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan keyakinan bahawa gelombang biru telah sampai ke Negeri Sembilan.
Ujarnya, strategi politik yang telah dirangka untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah sebagai gerakan taktikal bagi memastikan negeri ini kembali ditadbir BN.

“Alhamdulillah, pada pagi ini kita berkumpul untuk mengiringi ketiga-tiga calon kita. Walaupun pada peringkat awal Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri telah menyebutkan kita akan bertanding di 36 kerusi di seluruh Negeri Sembilan. Tetapi kita hanya bertanding 25 kerusi.
“Sebelas lagi kerusi akan ditandingi oleh sahabat baharu kita. Ini adalah merupakan strategi politik kita. Kita akan pastikan bahawa koordinasi yang dilakukan ini bukan suatu perjanjian. Ini bukan satu persepakatan tetapi sebagai satu ‘understanding’. Persefahaman.
“Persefahaman ini ini cukup penting untuk kita. Dulu kita hanya mempunyai 14 kerusi di bawah BN. Insya-Allah dengan ‘tactical move’ yang kita lakukan ini, Negeri Sembilan akan kembali ditadbir oleh Barisan Nasional, Insya-Allah!,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para jentera yang hadir untuk memeriahkan perarakan para calon ke pusat penamaan.

“Gelombang biru ini telah datang ke Negeri Sembilan. Insya-Allah, 1 Ogos adalah hari penentu. Hari ini kita bermula dan saya ucapkan terima kasih pada jentera tempatan, daripada UMNO dan BN Rembau.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada jentera daripada Sabah dan Melaka. Datuk Seri Mohamad Hasan adalah Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Pengerusi BN Malaysia… kita mesti bekerja keras untuk menentukan bahawa pemimpin kedua parti kita akan beroleh kejayaan yang besar.
“Ini kerana dalam PRN yang lalu, beliau adalah calon yang memperoleh majoriti terbesar, datang daripada DUN Rantau! Moga-moga dengan cara dan semangat baharu serta gelombang biru yang datang, insya-Allah kita doakan dan kita bekerja agar lebih tinggi majoriti diperoleh.
“Begitu juga di Chembong dan Kota. Kita menghormati institusi adat. Itu sebab kita hormati institusi raja. Insya-Allah akan kita tatang dengan minyak yang penuh,” katanya lagi.
Untuk rekod, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mewakili BN untuk kerusi DUN Rantau manakala Datuk Zaifulbahri Idris bagi DUN Chembong dan Suhaimi Aini bagi DUN Kota.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN dengan 14 kerusi dan PN lima kerusi. – UMNO Online
