BN Sabah Gerakkan Jentera Bantu Kemenangan Di Negeri Sembilan
SEREMBAN, 18 Julai – Barisan Nasional (BN) Sabah menggerakkan jentera ke Negeri Sembilan dengan satu tekad yang jelas, iaitu membantu memastikan kemenangan parti demi meneruskan agenda kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, kehadiran jentera BN negeri bukan sekadar memenuhi tanggungjawab parti, tetapi sebagai lambang solidariti bahawa keluarga besar BN sentiasa bersatu, saling memperkukuh dan berjuang bersama tanpa mengira sempadan negeri.

“Pilihan Raya Negeri ini bukan sekadar menentukan siapa yang mentadbir. Ia adalah medan untuk rakyat menentukan masa depan negeri, kestabilan politik, peluang ekonomi dan kesejahteraan generasi akan datang.
“Saya menyeru seluruh pengundi di Negeri Sembilan agar keluar menunaikan tanggungjawab dan memberikan mandat yang kukuh kepada calon-calon Barisan Nasional.
“Pilihlah kepimpinan yang berpengalaman, berintegriti serta mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti demi menjamin kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Seterusnya, Jafry berpesan kepada seluruh jentera BN Sabah yang akan bertugas, laksanakan amanah ini dengan penuh disiplin, keikhlasan dan semangat kekeluargaan.
“Dekatilah rakyat dengan rendah hati, dengar denyut nadi mereka dan sampaikan mesej perjuangan Barisan Nasional dengan penuh hikmah.
“Insya-Allah, dengan usaha yang bersungguh-sungguh, doa serta sokongan padu rakyat Negeri Sembilan, Barisan Nasional mampu memperoleh mandat yang diyakini untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan membawa negeri ini ke arah masa depan yang lebih stabil, maju dan sejahtera,” katanya. – UMNO ONLINE
