Prihatin Rakyat, Jeffery Nor Terus Santuni Komuniti Putatan
PUTATAN, 17 Julai – Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus menjadi keutamaan Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed apabila beliau turun padang menyantuni penduduk setempat serta menyampaikan bantuan kepada komuniti dalam usaha memperkukuh kesejahteraan di kawasan berkenaan.
Dalam hal ini, beliau meneruskan program bersama masyarakat dengan menerima kehadiran beberapa penduduk ke pejabatnya bagi mengemukakan pelbagai urusan dan permasalahan untuk diberi perhatian.
Menurut beliau, pintu pejabatnya sentiasa terbuka kepada masyarakat kerana setiap suara dan keperluan rakyat perlu didengari serta ditangani sebaik mungkin.
Seusai pertemuan tersebut, Jeffery Nor meneruskan program ke Kampung Petagas bagi menyampaikan sumbangan lampu solar kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Dopo untuk dipasang di Pondok KRT Simpang Kampung Petagas.
Beliau berkata, kemudahan asas seperti pencahayaan di kawasan pondok KRT bukan sahaja meningkatkan aspek keselamatan, malah memberi keselesaan kepada penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Insya-Allah, saya juga akan berusaha membantu membaik pulih pintu bilik KRT serta mengecat semula pondok ini agar ia menjadi lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan penduduk setempat.
“KRT memainkan peranan penting sebagai platform yang menyatukan masyarakat melalui pelbagai program kemasyarakatan, gotong-royong dan aktiviti yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Jeffery Nor turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi KRT, Lamudin, atas komitmen yang berterusan dalam menggerakkan aktiviti kemasyarakatan di kawasan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bekerjasama dalam membangunkan masyarakat dan memelihara keharmonian.
“Perbezaan pendapat dalam politik bukan alasan untuk kita berpecah. Sebaliknya, ia perlu menjadi kekuatan untuk kita bersama-sama membangunkan sosial masyarakat demi kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan,” ujarnya.
Dalam program sama, Jeffery turut menziarahi Puan Khadijah di Kampung Contoh bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarganya sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Beliau berharap bantuan yang disalurkan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga berkenaan serta memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.
Katanya lagi, budaya menyantuni rakyat perlu terus diperkasakan kerana ia merupakan asas kepada perjuangan UMNO yang sentiasa meletakkan kebajikan masyarakat sebagai keutamaan.
“Selagi diberikan amanah dan kesempatan, saya akan terus turun padang mendekati rakyat, mendengar sendiri permasalahan mereka serta berusaha mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan komuniti Putatan,” katanya. – UMNO Online
