Pemuda BN Perkemas Jentera, Sedia Hadapi PRN Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Mohd Hafiz Ariffin menegaskan kemenangan cemerlang BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukanlah penamat perjuangan, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada seluruh jentera Pemuda untuk meneruskan momentum kemenangan dalam menghadapi siri pilihan raya yang bakal berlangsung.

Katanya, kejayaan yang dicatatkan di Johor membuktikan keyakinan rakyat terhadap BN semakin kukuh, sekali gus memberi semangat kepada Pemuda BN untuk memperhebat gerak kerja di Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, keputusan di Johor amat memberangsangkan. Seramai 15 calon Pemuda BN berjaya mempertahankan dan memenangi kerusi masing-masing. Gerak kerja Pemuda BN tidak akan terhenti di Johor, sebaliknya kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk terus memperkukuh jentera, mendekati rakyat dan bersiap menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Kemenangan ini bukan noktah kepada perjuangan. Persiapan Pemuda BN akan diteruskan dengan lebih tersusun dan agresif bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan, diikuti Melaka serta bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya pada masa hadapan.

“Pemuda BN akan terus memperkukuh jentera di peringkat akar umbi, memperhebat pendekatan kepada pengundi muda serta memastikan momentum kebangkitan BN dapat diteruskan,” katanya kepada UMNO Online.

Hafiz yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO berkata, Pemuda BN komited memastikan suara generasi muda terus diperjuangkan di setiap negeri melalui barisan kepimpinan yang mempunyai perancangan jelas untuk masa depan anak muda.

“BN menawarkan kepimpinan yang bukan sahaja memberi perhatian terhadap kebajikan belia, malah menyediakan hala tuju, peluang dan wawasan yang membolehkan golongan muda menjadi rakan pembangunan negara, bukannya sekadar pemerhati.

“Matlamat kita ialah memastikan orang muda mempunyai masa depan yang lebih baik, mendapat pembelaan dari aspek kebajikan serta terlibat secara langsung dalam membina wawasan negara.

“Pemuda BN tidak mahu anak muda hanya menjadi penonton atau sekadar menerima cadangan, sebaliknya bersama-sama bekerja dan mencorakkan masa depan negara,” katanya lagi.

Tegasnya, itulah tekad Pemuda BN, akan terus bertemu di gelanggang perjuangan dan turun ke lapangan bagi menghadapi pilihan raya di negeri-negeri seterusnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan.

Manakala hari penamaan calon adalah pada 18 Julai dan tarikh pengundian awal pada 28 Julai. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO