Hairi Santuni Warga Larkin, Ambil Peduli Aduan Rakyat
JOHOR BAHRU, 17 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Md Shah menegaskan komitmennya untuk terus mendekati rakyat dengan turun padang mendengar denyut nadi masyarakat serta memastikan setiap aduan yang diterima diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya.
Menurut beliau, amanah yang diberikan oleh rakyat Larkin menuntutnya untuk sentiasa mengutamakan kebajikan masyarakat dan berusaha menyelesaikan setiap isu yang dibangkitkan.
“Semua aduan yang disampaikan akan diambil maklum dan insya-Allah setiap satunya akan diberi perhatian serta tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Komitmen untuk mendahulukan kepentingan rakyat itu diterjemahkan apabila Hairi terus menyantuni penduduk sejurus tiba di Johor Bahru dari Negeri Sembilan, semalam.
Beliau terus menuju ke Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Larkin di Larkin Jaya bagi bertemu penduduk yang hadir menyampaikan pelbagai aduan serta permasalahan yang dihadapi.
Hairi berkata, pendekatan mendekati rakyat secara bersemuka akan terus menjadi amalan kerana ia membolehkan pelbagai isu setempat dikenal pasti dengan lebih cepat dan diselesaikan secara berperingkat menerusi kerjasama pihak berkaitan.
Beliau turut menegaskan bahawa khidmat kepada rakyat tidak seharusnya mengenal waktu, sebaliknya perlu diteruskan setiap kali ada ruang dan peluang untuk mendengar serta membantu masyarakat.
Justeru, Hairi memaklumkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Larkin akan terus menjadi medium kepada penduduk untuk mengemukakan aduan, pandangan dan cadangan demi memastikan kebajikan warga setempat sentiasa terpelihara.
“Pintu Pusat Khidmat DUN Larkin sentiasa terbuka untuk anda. Selagi diberi kepercayaan, saya akan terus mendengar, menyantuni dan berusaha menyelesaikan setiap isu yang dihadapi rakyat,” ujarnya. – UMNO Online
