Calon BN Mampu Kekalkan Momentum, Birukan Negeri Sembilan – Norliza

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menzahirkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada seluruh calon Barisan Nasional (BN) yang diberi kepercayaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pemilihan calon-calon tersebut merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kesinambungan kestabilan politik, kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

Menurut beliau, setiap calon yang dipilih membawa harapan seluruh jentera parti dan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman serta mampu meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat maju jaya kepada semua calon Barisan Nasional yang akan membawa panji parti dalam PRN Negeri Sembilan.

“Semoga segala urusan dipermudahkan oleh Allah SWT, dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan fizikal dan mental serta semangat yang tidak pernah luntur sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian,” katanya.

Norliza berkata demikian berikutan pengumuman calon-calon BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pada Rabu dan penamaan akan berlangsung esok yang menandakan bermulanya tempoh berkempen sebelum hari pengundian pada 1 Ogos depan.

Beliau turut menyeru seluruh jentera Wanita UMNO di setiap peringkat agar bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu, memperkukuhkan gerak kerja di lapangan dan mendekati seramai mungkin pengundi bagi memastikan mesej perjuangan BN sampai kepada rakyat.

Katanya, kemenangan tidak akan hadir hanya dengan semangat semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen, disiplin, kesatuan dan kerja keras daripada seluruh jentera parti tanpa mengira jawatan atau kawasan.

“Setiap langkah yang diatur, setiap rumah yang diziarahi dan setiap pengundi yang ditemui merupakan ikhtiar penting dalam menentukan kejayaan Barisan Nasional. Jangan pernah berasa lelah kerana perjuangan ini adalah demi masa depan rakyat dan negeri yang kita cintai,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau percaya rakyat Negeri Sembilan mampu membuat pilihan yang bijaksana dengan terus memberikan mandat kepada BN yang mempunyai rekod pentadbiran yang terbukti, berpengalaman dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau turut yakin semangat yang diterjemahkan oleh seluruh jentera parti dengan kejayaan di PRN Johor mampu menjadi pemangkin untuk meneruskan momentum kemenangan sekali gus memperkukuhkan kedudukan BN pada PRN kali ini.

“Insya-Allah, dengan kesatuan hati, iltizam yang tinggi serta doa seluruh rakyat, kita akan terus melakar kejayaan. Ayuh kita bersama-sama meneruskan Gelombang Biru dan memastikan Negeri Sembilan terus kekal biru di bawah kepimpinan Barisan Nasional,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO