STRFP Kechau 1 Bukti Komitmen Kerajaan Pahang Perkasa Agenda Perumahan Warga FELDA

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang Datuk Amizar Abu Adam berkata kerajaan negeri terus komited memperkasa agenda pembangunan warga Felda menerusi pelaksanaan Skim Tanah Rakyat Felda Pahang (STRFP) yang bukan sahaja menyediakan lot kediaman, malah membangunkan penempatan lengkap dengan rumah serta kemudahan infrastruktur.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu dalam satu catatan di Facebook, beliau telah mengadakan lawatan secara fizikal ke tapak cadangan STRFP di FELDA Kechau 1, Lipis yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Tambahnya, tinjauan tersebut dilaksanakan bagi memastikan setiap aspek pelaksanaan berada dalam keadaan terkawal, menepati perancangan serta memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan di mana cadangan pembangunan itu melibatkan keluasan kira-kira 10 hektar (28 ekar) bagi menampung keperluan 126 lot, selaras dengan jumlah peneroka Felda Kechau 1 seramai 126 orang.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan ini tertakluk kepada penyelarasan semula STRFP oleh kerajaan negeri yang turut melibatkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) bagi merealisasikan konsep penyediaan rumah berserta kemudahan infrastruktur yang berkaitan.

“STRFP bukan sekadar menyediakan tanah semata-mata, malah dibangunkan sebagai sebuah penempatan yang lengkap dan terancang. Pendekatan baharu ini memberi penekanan kepada pembinaan rumah serta penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih sempurna agar penerima dapat menikmati persekitaran kehidupan yang selesa, selamat dan berkualiti,” katanya.

Seterusnya jelas Amizar, inisiatit tersebut merupakan komitmen Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada warga Felda serta memenuhi aspirasi untuk mewujudkan komuniti yang lebih mampan dan sejahtera.

Dalam pada itu, Amizar turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Padang Tengku Datuk Mustapa Long yang begitu komited dan bersungguh-sungguh memperjuangkan pelaksanaan STRFP di FELDA Kechau 1.

“Usaha berterusan beliau bersama barisan jentera Pusat Khidmat ADUN Padang Tengku amat dihargai dan menjadi antara faktor penting dalam memastikan agenda pembangunan ini terus diberi perhatian demi manfaat warga Felda,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO