PRN NS: Onn Hafiz Yakin Calon BN Mampu Bawa Suara Rakyat, Teruskan Agenda Pembangunan
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin barisan calon BN yang diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan calon terbaik yang mampu membawa suara rakyat serta meneruskan agenda pembangunan negeri.
Menurut Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor, pemilihan calon-calon tersebut dibuat berasaskan keupayaan, komitmen dan kesediaan untuk berkhidmat kepada rakyat, sekali gus memperkukuhkan kestabilan politik demi kesejahteraan Negeri Sembilan.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada calon Barisan Nasional Negeri Sembilan yang diumumkan.
“Saya percaya, barisan calon yang diketengahkan merupakan calon terbaik yang mampu membawa suara rakyat, memperkukuh kestabilan politik dan meneruskan agenda pembangunan demi kemajuan dan kesejahteraan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Malam tadi, Onn Hafiz turut serta ke Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Negeri Sembilan, yang dihadiri Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan parti di Paroi, Seremban.

Malam tadi juga, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN mengumumkan 25 calon BN yang akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan kali ke-16 ini.
Seterusnya, Onn Hafiz turut menyifatkan kehadiran lautan biru pada majlis berkenaan sebagai gambaran jelas semangat dan kesiapsiagaan jentera BN untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan.
“Kepada seluruh jentera, marilah kita bersama-sama turun padang dengan penuh semangat, mengukuhkan saf perjuangan dan berganding bahu membantu Barisan Nasional Negeri Sembilan mempertahankan mandat rakyat demi menjamin kesinambungan kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan negeri,” katanya.
Manakala dalam masa yang sama, Onn Hafiz yang mewakili BN Johor turut mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh kepimpinan, calon dan jentera BN Negeri Sembilan, sambil mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan serta perjuangan parti diberkati Allah SWT sepanjang kempen PRN berlangsung. – UMNO ONLINE
