Ismail Lasim Beri Komitmen Galas Amanah, Pastikan BN Menang Di Juasseh

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ketua UMNO Bahagain Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawa panji Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ismail selaku calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh berkata amanah yang dipikul itu akan dilaksanakan sebaik mungkin demi memastikan kemenangan BN sekali gus meneruskan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat di DUN Juasseh.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan atas keyakinan yang diberikan kepada saya.

“Insya-Allah, amanah ini akan saya galas dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan demi berkhidmat kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan di Threads.

Jelas Ismail lagi, pelancaran jentera pilihan raya serta pengenalan calon BN pada malam tadi menjadi titik permulaan penting untuk seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan yang mantap bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera dan penyokong BN agar terus memperkukuhkan perpaduan, bekerja keras serta mengutamakan semangat kebersamaan bagi memastikan kemenangan parti.

Dalam masa sama, Ismail turut berjanji akan menjadi wakil rakyat yang sentiasa mendampingi masyarakat sekiranya diberikan mandat oleh pengundi Juasseh.

“Saya mahu menjadi wakil yang sentiasa dekat dengan rakyat, mendengar setiap pandangan dan permasalahan mereka serta berusaha membawa pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh warga Juasseh,” ujarnya yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Juasseh dari Mei 2018 hingga Ogos 2023.

Pada PRN yang lalu, Ismail menjadi ADUN di kerusi Senaling.

Seterusnya, beliau turut memohon doa, sokongan dan kepercayaan daripada seluruh rakyat agar perjuangan BN dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan pada pilihan raya kali ini.

“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita demi kesejahteraan Juasseh dan Negeri Sembilan serta mengurniakan kemenangan kepada Barisan Nasional,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO