PRN NS: Rakyat Jangan Lepaskan Peluang… Pentadbiran BN Terbaik

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menyeru rakyat Negeri Sembilan agar tidak melepaskan peluang untuk memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, susulan kejayaan besar di Johor.

Menurutnya, kemenangan BN di Johor membuktikan rakyat semakin yakin terhadap keupayaan parti itu untuk mentadbir negeri dengan baik, sekali gus memastikan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi dapat diteruskan.

Ujarnya, kejayaan pentadbiran BN menjadi bukti jelas bahawa kerajaan yang stabil mampu membawa pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh terutamanya di Negeri Sembilan.

“Janganlah rakyat Negeri Sembilan pula melepaskan peluang keemasan ini. Kita telah menunjukkan contoh pentadbiran yang cukup baik di Johor. Saya berharap rakyat Negeri Sembilan akan terus memberikan sokongan padu kepada BN serta menghadiahkan kemenangan sebagaimana yang berlaku di Johor.

“Momentum kemenangan harus diterjemahkan di Negeri Sembilan sekiranya rakyat terus meletakkan keyakinan kepada kepimpinan yang berpengalaman, berwibawa dan mempunyai rekod pentadbiran yang telah lama terbukti.

“Apa yang berlaku dalam PRN Johor baru-baru ini adalah satu perkembangan yang cukup baik. Apabila BN diberikan mandat untuk mentadbir. Kita akan menjalankan pentadbiran ini dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Razlan turut menegaskan bahawa sokongan rakyat amat penting bagi memastikan agenda pembangunan, kestabilan politik serta kesejahteraan negeri dapat diteruskan demi manfaat seluruh masyarakat.

Dalam masa sama, Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut mengingatkan semua parti yang bakal bertanding pada PRN Negeri Sembilan supaya mengamalkan politik yang matang dan berhemah, tanpa memainkan sentimen kebencian atau mengeluarkan kenyataan berbaur kesombongan.

“Budaya politik angkuh dan bongkak hanya akan merugikan rakyat serta mencemarkan proses demokrasi. Saya berharap semua parti yang bertanding tidak lagi mengulangi kenyataan-kenyataan sombong dan bongkak seperti yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Marilah kita berkempen secara sihat, beradu idea dan menawarkan yang terbaik kepada rakyat. Insya-Allah… jika rakyat terus menilai berdasarkan rekod dan prestasi, kemenangan akan terus berpihak kepada BN,” jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO