Ketepikan Perbezaan… Bersatu Hati, Pastikan BN Kembali Terajui Negeri Sembilan
SEREMBAN, 15 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh jentera agar bersatu hati, mengetepikan segala perbezaan dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan Negeri Sembilan kembali diterajui oleh sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa serta mampu membawa kemajuan kepada rakyat.
Menurut beliau, semangat kemenangan BN di Johor perlu diterjemahkan di Negeri Sembilan dengan menjadikan kejayaan tersebut sebagai pembakar semangat, bukannya tiket untuk berasa selesa.

“Kita bawa semangat gelombang biru dari Johor ke Negeri Sembilan. Inilah amanah yang sedang menanti dan perjuangan perlu dipikul bersama.
“Ini bukan masa untuk berperang sesama sendiri. Maruah kita menjadi taruhan, masa depan BN sedang dipertaruhkan. Kemenangan akan menjadi milik mereka yang berani berjuang dan bertahan sehingga ke garisan terakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di perkarangan Stadium Paroi, di sini, sebentar tadi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, rakyat Negeri Sembilan mahukan sebuah kerajaan yang mampu membela nasib mereka, merancakkan ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan dan menjamin masa depan yang lebih baik kepada setiap keluarga.
Ujarnya, kemenangan BN di Johor sebelum ini membuktikan rakyat lebih memilih kestabilan berbanding persepsi politik yang berterusan.
“Saya yakin kemenangan Johor merupakan mesej besar kepada seluruh negara bahawa rakyat memilih kestabilan mengatasi politik.
“Namun kemenangan Johor bukan tiket untuk menang di Negeri Sembilan. Jadikan ia pembakar semangat. Setiap undi mesti dicari kerana itulah yang akan menentukan kemenangan kita pada 1 Ogos nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kekuatan BN selama ini terletak pada semangat kebersamaan seluruh keluarga parti.
“Kejayaan di Johor bukan datang daripada seorang pemimpin tetapi hasil semangat kebersamaan seluruh keluarga BN. Kita saling melengkapi, saling mempercayai dan saling menguatkan antara satu sama lain.
“Inilah formula kemenangan yang perlu kita bawa ke Negeri Sembilan. Padamkan segala rasa kecil hati dan satukan semangat di bawah satu panji,” ujarnya.
Mengulas mengenai PRN Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata BN tampil dengan jiwa besar untuk mengembalikan mandat kepada rakyat demi menamatkan kemelut politik yang berlaku.

“PRN ini merupakan mandat besar untuk menentukan semula arah Negeri Sembilan. Kita datang dengan jiwa besar untuk menamatkan krisis dan mengembalikan keyakinan rakyat.
“Saya percaya rakyat Negeri Sembilan adalah hakim yang paling adil. Mereka penentu segala-galanya. Langkah yang kita ambil adalah langkah yang penuh tanggungjawab kerana Negeri Sembilan tidak boleh terus dibiarkan bergolak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa BN sentiasa menjunjung prinsip menghormati institusi Raja-Raja Melayu serta mempertahankan adat yang menjadi identiti Negeri Sembilan.
“Negeri Sembilan bukan negeri biasa. Adat Perpatih adalah jiwa negeri ini dan mesti dihormati dengan penuh hikmah.
“Negeri Sembilan memerlukan sebuah kerajaan yang lebih tertib, berimbang dan bijaksana. Insya-Allah BN akan tampil sebagai pilihan terbaik untuk memimpin negeri ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh jentera agar memasuki gelanggang pilihan raya dengan penuh keyakinan dan tekad untuk meraih kemenangan.
“BN mesti masuk untuk menang. Rakyat tidak mahu lagi drama politik yang berpanjangan. Anak-anak muda mahukan peluang pekerjaan dan masa depan yang lebih baik.
“Wahai seluruh jentera BN, rakyat sedang merindui BN. Balaslah kerinduan itu dengan bekerja keras, memberikan harapan dan melaksanakan segala janji yang terkandung dalam manifesto. Kerja kita mesti bermula sekarang,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
