Mohd Sumali Bersyukur, Tekad Galas Tanggungjawab Bangunkan Benut

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Mohd Sumali yang juga Setiausaha Kerja UMNO Malaysia berkata, kemenangan yang diraih bukanlah milik mana-mana individu, sebaliknya merupakan kemenangan seluruh rakyat Benut yang menginginkan perpaduan, kestabilan serta masa depan yang lebih baik.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan izin-Nya. Hari ini, saya menerima amanah yang sangat besar daripada rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dengan penuh rasa rendah diri, syukur dan tanggungjawab.

“Terima kasih kepada seluruh pengundi DUN Benut yang telah memberikan kepercayaan kepada saya. Kemenangan ini bukan kemenangan saya seorang, bukan kemenangan mana-mana individu, tetapi kemenangan seluruh rakyat Benut yang mahukan perubahan, perpaduan dan masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mohd Sumali turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang kempen berlangsung.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi BN Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; barisan kepimpinan BN, jentera parti, para sukarelawan, penyokong, sahabat seperjuangan serta seluruh ahli keluarga yang tidak pernah putus memberikan doa, semangat dan pengorbanan.

Menurut beliau, Benut mempunyai nilai yang amat istimewa dalam kehidupannya kerana merupakan tempat beliau dilahirkan, dibesarkan dan menimba pengalaman yang membentuk perjalanan hidupnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat agar meninggalkan segala perbezaan yang timbul sepanjang pilihan raya dan bersama-sama berganding bahu membangunkan kawasan Benut.

“Marilah kita melangkah ke hadapan sebagai satu keluarga besar. Kita tinggalkan segala perbezaan semasa pilihan raya dan bersatu membina Benut yang lebih baik, lebih sejahtera dan lebih makmur untuk generasi akan datang.

“Insya-Allah, saya akan memikul amanah ini dengan penuh keikhlasan, integriti dan tanggungjawab,” katanya.

Seterusnya, Mohd Sumali menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan menjadikan slogan “Benut Rumah Kita” serta “Dari Benut Saya Bermula, Untuk Benut Saya Berbakti” sebagai pegangan dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Pada Sabtu lalu, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mohd Sumali menang di DUN Benut menewaskan calon Pakatan Harapan (PH-Amanah) dengan majoriti sebanyak 15,701 undi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO