Kerajaan Johor Mahu Siasatan Menyeluruh Isu Network School Di Forest City
JOHOR BAHRU, 14 Julai – Kerajaan Negeri Johor memandang serius kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri tidak akan sama sekali membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

“Kerajaan Negeri Johor mengambil maklum dan memandang serius kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program tersebut menggunakan pasport negara kedua.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Susulan itu katanya, kerajaan negeri telah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh.
Menurut beliau, siasatan tersebut merangkumi identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat, dokumen perjalanan termasuk penggunaan pasport kedua, jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia, selain memastikan keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan.
Pada masa yang sama, Onn Hafiz meminta Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital serta agensi kawal selia berkaitan menentukan status sebenar operasi Network School, termasuk sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.
Di peringkat negeri pula jelas beliau, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Semakan itu termasuk pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta apa-apa keperluan perundangan atau peraturan lain yang berkuat kuasa,” katanya.
Seterusnya, Onn Hafiz turut menegaskan bahawa sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, mahupun unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri Johor akan terus bertindak secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang bagi melindungi kepentingan negeri serta mempertahankan kedaulatan negara. – UMNO ONLINE
