Masa Depan Pahang Berada Di Tangan Generasi Berilmu, Berpotensi Tinggi

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Masa depan Negeri Pahang berada di tangan generasi berilmu, berdaya saing dan berpotensi tinggi, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau telah hadir merasmikan Majlis Penutupan Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2026 dan melancarkan Program Walk A Town With Me Pahang 1st pada Ahad.

“Alhamdulillah, malam tadi saya hadir bagi merasmikan Majlis Penutupan Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2026, sekali gus melancarkan Program Walk A Town With Me Pahang 1st di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang, Kuantan.

“Melihat ribuan anak muda berhimpun dengan penuh semangat memberikan keyakinan bahawa masa depan Pahang berada di tangan generasi yang berilmu, berdaya saing dan berpotensi tinggi. Mereka bukan sekadar harapan masa depan, bahkan merupakan kekuatan yang sedang mencorakkan kemajuan negeri pada hari ini.

“Saya juga berasa amat gembira dapat berjalan bersama anak-anak muda dalam menjayakan Program Walk A Town With Me Pahang 1st. Semangat, tenaga dan kebersamaan yang ditunjukkan membuktikan bahawa belia Pahang sentiasa bersedia menjadi ejen perubahan demi kemajuan negeri,” katanya.

Beliau turut berharap agar Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang akan terus menjadi pusat pembangunan belia yang aktif, dinamik dan berimpak tinggi.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada YB Fadzli Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Majlis Belia Negeri Pahang, para sukarelawan serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan festival ini yang menghimpunkan hampir 60 program sepanjang tiga hari penganjuran.

“Saya berharap Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang akan terus menjadi pusat pembangunan belia yang aktif, dinamik dan berimpak tinggi melalui pelbagai aktiviti, latihan, inovasi serta program pembangunan modal insan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa Program Walk A Town With Me Pahang 1st merupakan salah satu inisiatif untuk membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Pahang.

“Pada masa yang sama, Program Walk A Town With Me Pahang 1st merupakan satu inisiatif untuk membudayakan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan dalam komuniti serta menghidupkan bandar-bandar di seluruh negeri. Semoga program ini terus mendapat sambutan dan diperluaskan ke semua 14 Parlimen di Pahang.

“Insya-Allah, melalui Aspirasi Pahang 1st, kita akan terus melahirkan generasi yang berilmu, berdaya tahan dan berjiwa besar untuk memacu Pahang menjadi negeri yang lebih maju, makmur serta sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO