Kemenangan Besar BN Johor Isyarat Kebangkitan Nasional – Samasuddin
JOHOR BAHRU, 13 Julai – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai petanda jelas kebangkitan semula parti itu di peringkat nasional, menjadi suntikan semangat kepada jentera BN di seluruh negara termasuk Sabah.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Samasuddin Yusof berkata, keputusan luar biasa yang dicatatkan BN di Johor membuktikan keyakinan rakyat terhadap parti itu semakin pulih dan kembali kukuh.
“Alhamdulillah, satu keputusan yang bagi saya luar biasa sebenarnya. Johor menambahkan kerusi yang lebih baik pada kali ini, daripada 40 kepada 48 kerusi.
“Ini memberi satu kebangkitan semula BN, bukan sahaja di Johor, malah selepas ini ke negeri-negeri lain termasuk juga di Sabah… Insya-Allah.
“Keputusan PRN Johor juga secara tidak langsung menjadi tamparan kepada pihak yang sebelum ini begitu yakin dengan kekuatan mereka sehingga mengeluarkan pelbagai kenyataan dan strategi politik untuk menghalang kebangkitan BN,” katanya kepada UMNO Online.
Samasuddin turut menyifatkan kemenangan besar BN di Johor sebagai isyarat bahawa gelombang sokongan rakyat terhadap parti itu sedang kembali memuncak dan berpotensi menjadi pencetus kepada kebangkitan BN di negeri-negeri lain menjelang pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan menjelaskan, kejayaan BN merampas kembali beberapa kawasan yang sebelum ini dikuasai pembangkang, khususnya Dap, membuktikan rakyat semakin menolak politik yang gagal membawa penyelesaian kepada masalah mereka.
“Kita merampas balik banyak kawasan-kawasan Dap pada kali ini. Sebelum ini ada seorang menteri kata nak ‘resign’ dan macam-macam lagi, tetapi akhirnya rakyat yang menentukan.
“Keputusan ini menunjukkan rakyat mahukan kestabilan dan kepimpinan yang benar-benar bekerja untuk mereka,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan BN pada PRN Johor sebagai permulaan kepada kebangkitan gelombang biru yang diyakini mampu diteruskan pada pilihan raya negeri di Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Kemenangan itu turut membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkan telah mempamerkan rekod pentadbiran cemerlang sepanjang penggal lalu.
Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih serta mengingatkan mereka agar terus menggalas amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab. – UMNO Online
