48 Kerusi BN Bukti Keyakinan Rakyat Johor Terhadap Kepimpinan BN

JOHOR BAHRU, 13 Julai – Kemenangan Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan isyarat jelas keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan kemampuan BN dalam menerajui negeri itu.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata, keputusan tersebut membuktikan rakyat Johor membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan, kestabilan politik serta keupayaan kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, kemenangan besar itu bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab oleh seluruh kepimpinan BN.

“Rakyat Johor telah membuat penilaian yang matang dengan memilih kepimpinan yang bekerja, bukan sekadar berjanji; kepimpinan yang menyelesaikan masalah rakyat dan bukan mencetuskan polemik,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sepanjang tempoh kempen pelbagai dakwaan, persepsi dan cabaran politik dibangkitkan, rakyat Johor tetap memilih kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri.

Katanya, mandat besar yang diberikan kepada BN perlu diterjemahkan melalui komitmen berterusan untuk mendengar suara rakyat, memperkukuhkan khidmat bakti serta memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat Johor.

“48 kerusi bukan sekadar angka, tetapi mesej jelas daripada rakyat Johor bahawa mereka mahukan kestabilan, pembangunan berterusan dan kepimpinan yang diyakini,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Norshida turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Johor yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi, selain mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang bekerja keras sepanjang tempoh pilihan raya.

Beliau menegaskan, kepercayaan yang diberikan rakyat akan terus dipelihara demi memastikan Johor kekal maju, stabil dan sejahtera. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO