BN Terima Mandat Rakyat Johor, Noraini Hargai Jentera

JOHOR BAHRU, 12 Julai – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menzahirkan rasa syukur atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang disifatkannya sebagai hasil usaha, pengorbanan dan kesatuan seluruh keluarga besar BN.

Beliau berkata, kejayaan itu tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen tinggi semua jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang 14 hari tempoh berkempen, termasuk sokongan daripada jentera negeri-negeri angkat yang bersama membantu gerak kerja di Johor.

“Saya menyaksikan sendiri kesungguhan setiap jentera yang berjuang tanpa mengenal penat lelah. Semangat dan komitmen yang dipamerkan menjadi antara kekuatan yang membawa kepada kemenangan ini,” katanya.

Noraini turut merakamkan penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi serta memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN untuk terus mentadbir negeri itu.

Menurut beliau, kemenangan tersebut merupakan satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab demi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Insya-Allah, mandat ini akan diterjemahkan melalui kerja yang lebih gigih, komitmen yang lebih tinggi serta usaha berterusan demi memastikan Johor terus kekal sebagai sebuah negeri yang stabil, makmur, maju dan sejahtera,” katanya.

Beliau berharap segala usaha yang dilaksanakan selepas ini akan dipermudahkan dan membawa manfaat kepada seluruh rakyat Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO