Pengundian Di Benut Bermula Lancar, Sumali Antara Yang Awal Mengundi

PONTIAN, 11 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi apabila membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung sebaik pusat pengundian dibuka pada jam 8.00 pagi, hari ini.

Beliau yang tiba pada awal pagi dilihat meluangkan masa bertegur sapa dengan petugas dan pengundi sebelum memasuki saluran mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

Tinjauan di pusat pengundian berkenaan mendapati suasana berada dalam keadaan tenang dan terkawal dengan para pengundi hadir secara berperingkat sejak pusat mengundi dibuka untuk memilih wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut menyaksikan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Sumali Reduan, berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Abdul Razak Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, manakala 27 Jun 2026 merupakan hari penamaan calon yang menyaksikan pertandingan bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

PRN Johor kali ini menjadi medan penting bagi rakyat menentukan kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan BN berharap terus diberi mandat untuk meneruskan agenda kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan pembangunan Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO