BN Menang Lebih 40 Kerusi, Onn Hafiz Tekad Jayakan Agenda Maju Johor

JOHOR BAHRU, 11 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kemenangan Barisan Nasional (BN) memperoleh lebih 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 merupakan satu amanah besar untuk terus menjayakan Agenda Maju Johor demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri itu.

Beliau berkata, mandat yang diberikan oleh Bangsa Johor akan dijadikan pemangkin untuk kerajaan negeri bekerja lebih kuat, menyantuni rakyat dengan lebih baik serta memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan.

“Syukur Alhamdulillah. Seperti yang disebut Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, BN telah berjaya memenangi lebih 40 kerusi pada hari ini. Dengan penuh rendah hati saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang memberikan mandat yang begitu memberangsangkan.

“Keputusan ini memberikan semangat kepada kami untuk terus menyantuni rakyat dengan lebih baik. Itulah matlamat utama kami apabila diberikan kepercayaan sebegini,” katanya.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, parti-parti komponen BN, Friends of BN, negeri-negeri angkat serta seluruh jentera di peringkat akar umbi termasuk Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri dan sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang kempen.

Beliau turut mengingatkan semua wakil rakyat yang diberi mandate dalam PRN ini bahawa kemenangan tersebut datang bersama tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Johor tanpa mengira latar belakang politik.

“Kita mempunyai tanggungjawab yang amat besar untuk menjaga Bangsa Johor, sama ada yang menyokong mahupun yang tidak menyokong kita. Apabila telah diberi mandat, kita akan menjaga semua kerana kita semua adalah Bangsa Johor.

“Marilah kita rapatkan saf, buang yang keruh dan ambil yang jernih. Kini tanggungjawab kita adalah membina Johor yang kita dambakan dan impikan. Insya-Allah, kita akan terus menjayakan Agenda Maju Johor,” katanya lagi dalm sidang media yang diadakan di Bilik Gerakan BN Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini.

Pengiraan undi PRN Johor masih berlangsung di sini dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membacakan keputusan yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi BN/UMNO. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO