Pengundi Johor Pilih BN, Tolak Sentimen

TENGGARA, 10 Julai – Ahli Parlimen Tenggara, Mandzri Nasib menyeru rakyat Johor supaya membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran dan perancangan jangka panjang kerajaan negeri, bukannya dipengaruhi isu-isu kecil yang sengaja diperbesarkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, dalam mana-mana pilihan raya pasti akan timbul pelbagai isu yang dimainkan pihak tertentu bagi mempengaruhi emosi pengundi, namun perkara yang lebih penting ialah melihat kepada pencapaian serta hala tuju pembangunan yang telah dirancang untuk negeri Johor.

“Dalam politik, isu akan sentiasa ada. Kadang-kadang perkara yang kecil pun diperbesarkan sehingga mampu mempengaruhi emosi rakyat. Tetapi yang lebih utama ialah melihat isu-isu besar dan pencapaian yang telah dibawa oleh kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, sepanjang empat tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pengerusi BN Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk agenda Maju Johor, bantuan kebajikan, penyediaan perumahan serta pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, manifesto BN Johor yang dilancarkan pada PRN kali ini turut memberi penekanan kepada pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) yang diyakini mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga telah menggariskan Johor Economic Transformation Programme (JETP) sebagai pelan pembangunan jangka panjang yang menjadi asas kepada hala tuju pembangunan Johor sehingga tahun 2050,” katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat dapat meluangkan masa meneliti manifesto BN dan pelan transformasi ekonomi negeri sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

“Saya yakin rakyat mampu menilai perancangan yang jelas, spesifik dan strategik yang dibawa BN untuk memastikan Johor terus maju serta memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO