Pengundi Diseru Nilai Rekod BN, Jangan Terpengaruh Janji Politik
MUAR, 10 Julai – Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Haryaty Hamdzah menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang supaya membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan dan prestasi calon, bukannya dipengaruhi persepsi yang tersebar di media sosial.
Haryaty yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka berkata, calon Barisan Nasional (BN) Cikgu Selamat Takim telah membuktikan komitmen serta khidmatnya sepanjang sepenggal menjadi wakil rakyat di DUN Sungai Balang, justeru kesinambungan kepimpinan antara kerajaan negeri dan wakil rakyat sedia ada amat penting bagi memastikan agenda pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan.

“Pilih pemimpin berasaskan servis yang telah dilakukan di dalam kawasan. Kalau kita tengok reputasi Cikgu Selamat Takim, beliau telah membuktikan bahawa beliau memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengundi dan rakyat di Sungai Balang. Jangan membuat penilaian hanya berdasarkan maklumat yang diterima melalui media sosial semata-mata, sebaliknya nilailah sendiri pembangunan yang telah dilaksanakan hasil sokongan kerajaan negeri.
“Kalau Sungai Balang diserahkan kepada parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri, ia mungkin akan menimbulkan pelbagai permasalahan. Sebab itu kesinambungan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kepimpinan negeri amat penting. Pengundi khususnya anak muda dan pengundi kali pertama perlu menilai kemampuan Barisan Nasional yang telah membuktikan kejayaan membawa pembangunan kepada negeri Johor,” katanya.
Mengulas lanjut, Haryaty berkata rakyat juga perlu menilai rekod parti yang benar-benar menunaikan janji berbanding sekadar menawarkan pelbagai manifesto tanpa pelaksanaan.
Di samping itu, Haryaty menyifatkan kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai contoh pemimpin muda yang berjaya menterjemahkan aspirasi pembangunan negeri.
“Lebih baik kita memilih mereka yang ‘walk the talk’, bercakap dan melaksanakan. Kepimpinan Datuk Onn Hafiz adalah satu kepimpinan yang luar biasa dan inilah legasi yang diperlukan untuk memastikan Johor terus maju,” katanya.
Mengulas mengenai komitmen jentera, Haryaty melihat mereka sangat bersemangat dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
“Saya juga melihat jentera wanita berada dalam keadaan cukup bersemangat dengan maklum balas yang lebih positif berbanding pilihan raya sebelum ini.
“Malah, momentum sokongan daripada pengundi Melayu dan bukan Melayu juga semakin meningkat dan saya berharap semangat ini dapat diteruskan sehingga hari mengundi nanti,” ujarnya. – UMNO ONLINE
