Pastikan Pengundi Putih Keluar Esok, Menangkan BN Johor

KULAI, 10 Julai – Barisan Nasional (BN) Kulai yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai di samping merampas semula DUN Bukit Batu dan DUN Senai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua UMNO Bahagian Kulai yang juga calon BN DUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, keyakinan itu disandarkan kepada komitmen tinggi seluruh jentera parti yang telah bekerja tanpa mengenal penat sepanjang tempoh kempen.

Menurut beliau, segala usaha kini memasuki fasa terakhir dengan hari pengundian esok menjadi penentu kepada kejayaan BN di kawasan berkenaan.

“Insya-Allah kita akan mempertahankan kemenangan di DUN Bukit Permai dan berusaha merampas kembali DUN Bukit Batu serta DUN Senai.

“Jentera perlu terus turun ke kawasan dan memastikan setiap pengundi putih keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian. Esok adalah hari penentuan buat kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Munajat BN Kulai, hari ini.

Jafni turut mengingatkan seluruh jentera supaya terus berganding bahu bersama rakyat sehingga tamat proses pengundian bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Beliau berkata, kejayaan BN bukan sahaja bergantung kepada kekuatan jentera, malah memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada para pengundi yang mahu melihat kesinambungan kestabilan serta pembangunan di Johor diteruskan.

Sebelum itu Mohd Jafni turut bersama-sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Program Himpunan Munajat BN Kulai, hari ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO