Mohamad Hasan Tekankan Kesiapsiagaan Jentera Hadapi PRN Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan persiapan gerak kerja jentera perlu diberi tumpuan sebaiknya sebagai langkah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata kerjasama erat dan komitmen seluruh jentera itu sebagai faktor penting dalam memastikan kelancaran persiapan pilihan raya tersebut.
“Petang semalam sempat mempengerusikan BN Negeri Sembilan untuk berbincang tentang persiapan menghadapi PRN Negeri Sembilan yang ke-16.
“Persiapan gerak kerja jentera petugas amat penting di dalam menghadapi pilihan raya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, menerusi perkongsian berbeza Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri pada semalam berbesar hati ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyambut ketibaan TYT Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Thailand sempena lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.
Menurut beliau lawatan ini sebahagian daripada siri pertukaran lawatan di peringkat Perdana Menteri selepas lawatan kerja Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand pada April tahun lalu dan Lawatan Rasmi Mantan Perdana Menteri Thailand ke Malaysia pada Disember 2024.
“Lawatan rasmi ini mencerminkan jalinan persahabatan yang erat dan mesra antara kedua-dua negara selaku jiran tetangga dan Negara Anggota ASEAN,” ujar beliau. – UMNO Online
