PRN Johor: Jangan Fikir Dua Tiga Kali… Undilah BN – Noraini

PARIT SULONG, 10 Julai – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru rakyat Johor, terutama pengundi muda dan baharu agar memberikan mandat kepada BN pada hari pengundian esok, Sabtu.

Kata Ketua Wanita UMNO itu, ini bagi memastikan kesinambungan kerajaan negeri yang stabil serta mampu meneruskan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

Menurutnya lagi, rekod pentadbiran BN di Johor membuktikan gabungan tersebut telah membawa kestabilan politik dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Di negeri Johor ini, berilah peluang kepada Barisan Nasional. Undilah Barisan Nasional pada 11 haribulan nanti kerana Barisan Nasional telah terbukti menjadi kerajaan yang cukup stabil dan banyak yang telah dilaksanakan.

“Berikan peluang kepada kami untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan ini demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri Johor,” kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi.

Dalam pada masa yang sama, Noraini turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai persepsi dan dakwaan yang dimainkan pihak tertentu sepanjang tempoh kempen.

“Bagi pengundi muda, jangan fikir dua tiga kali. Undilah Barisan Nasional. Jangan dengar kata-kata yang menimbulkan pelbagai persepsi. Nilailah berdasarkan rekod dan prestasi yang telah dibuktikan.

“Insya-Allah, Barisan Nasional telah membuktikan kemampuan mentadbir Johor dengan cemerlang. Teruskan memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk menerajui negeri ini,” ujarnya.

Seterusnya Noraini berkata, mandat yang kukuh kepada BN amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan dan agenda kemajuan Johor dapat diteruskan tanpa gangguan, sekali gus menjamin kestabilan serta kemakmuran yang dinikmati rakyat hari ini.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 ini, BN bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri dan pada PRN Ke-15 lalu, BN menang di 40 kerusi DUN. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO