Dr Zambry Bidas Nga Kor Ming, Tegaskan Keputusan Jemaah Menteri Perlu Dihormati

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membidas sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang mengkritik serta melabelkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai “lembab seperti kura-kura” berhubung pelaksanaan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.

Menurut beliau, setiap keputusan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri merupakan keputusan bersama yang dibuat berlandaskan prinsip tanggungjawab kolektif (collective responsibility) dan perlu dihormati oleh semua anggota pentadbiran.

Dr Zambry berkata, pelaksanaan sesuatu keputusan tidak boleh dilihat secara terpisah kerana ia melibatkan tindakan menyeluruh termasuk penyelarasan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan setiap dasar dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

“Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa semua anggota Jemaah Menteri perlu berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama dalam mempertahankan keputusan kerajaan serta memastikan sebarang isu diselesaikan menerusi saluran yang sewajarnya demi memelihara integriti pentadbiran kerajaan.

Justeru, beliau berharap semua pihak menghormati proses serta tatakelola kerajaan dalam melaksanakan setiap keputusan yang telah dipersetujui secara bersama demi kepentingan negara dan rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO