Anak Sabah Di Johor Sepakat Sokong BN – Salleh Said

PASIR GUDANG, 10 Julai – Gelombang sokongan masyarakat Sabah yang menetap di Johor dijangka kembali memihak kepada Barisan Nasional (BN) dengan sasaran sehingga 80 peratus undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan memberangsangkan yang diterima sepanjang gerak kerja turun padang bersama komuniti Anak Sabah di Johor.

Menurut beliau, masyarakat Sabah di Johor kini lebih melihat kepada soal kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan kemampuan kerajaan membawa pembangunan berbanding permainan politik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Orang Sabah mahukan kerajaan yang stabil. Mereka mahu ekonomi berkembang, pelaburan masuk, peluang pekerjaan diwujudkan dan masa depan anak-anak mereka terjamin.

“Itulah perkara yang mereka fikirkan sekarang, bukan politik yang hanya bergantung kepada sentimen atau retorik kosong,” katanya ketika berucap pada Program Santai Anak Sabah di Balai Komuniti, Tasek 13, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Salleh berkata, pada PRN Johor sebelum ini, sokongan pengundi Sabah di negeri itu berpecah apabila sebahagian memilih calon daripada Warisan.

Namun katanya, dengan ketiadaan Warisan dalam PRN kali ini, UMNO Sabah melihat ruang sokongan tersebut kembali disatukan kepada BN sebagai pilihan yang membawa kestabilan.

“Dulu undi mereka berpecah. Tetapi hari ini keadaan sudah berubah. Mereka menilai semula siapa yang mampu membawa kestabilan dan pembangunan.

“Kita yakin sokongan yang pernah berpecah itu akan kembali bersatu bersama BN,” katanya.

Beliau berkata, maklum balas daripada akar umbi menunjukkan pengundi Sabah di Johor semakin matang dalam membuat keputusan politik dengan memberi keutamaan kepada isu ekonomi, peluang pekerjaan dan tadbir urus yang berkesan.

Menurutnya, sokongan padu masyarakat Sabah kepada BN bukan sekadar soal pilihan raya, tetapi mencerminkan harapan mereka terhadap sebuah kerajaan yang mampu memastikan kehidupan rakyat terus berkembang.

“Sokongan ini bukan hanya untuk BN, tetapi untuk memastikan Johor terus berada di landasan kemajuan dengan kerajaan yang stabil dan diyakini,” katanya.

Keyakinan UMNO Sabah itu dilihat sebagai satu perkembangan penting menjelang PRN Johor, khususnya di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi asal Sabah yang signifikan seperti Johor Jaya dan Permas. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO