Alwiyah Rayu Pengundi Endau Nilai Rekod, Bukan Percaya Persepsi
ENDAU, 10 Julai – Hanya tinggal beberapa jam lagi tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berakhir dan pastinya jentera parti akan melakukan sebaik mungkin sebelum berakhir jam 12.00 tengah malam ini.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib atau lebih dikenali sebagai Kak Awi, merayu seluruh pengundi di N32 Endau agar membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan dan keikhlasan berbakti kepada rakyat, bukannya dipengaruhi persepsi atau dakyah politik.
Beliau yang juga penyandang DUN Endau berkata, setiap langkah perjuangannya sentiasa disandarkan kepada doa agar Allah SWT membuka hati seluruh pengundi untuk menilai dengan adil dan berfikiran terbuka.

“Saya mohon sangat-sangat kepada semua pengundi Kak Awi di N32 Endau. Saya sentiasa berdoa agar Allah SWT menggerakkan hati semua pengundi untuk membuka mata, berfikir dengan hati yang terbuka dan membuat penilaian yang seadil-adilnya.
“Nilailah sendiri rekod perkhidmatan saya sepanjang dua penggal sebelum ini. Lihat apa yang telah saya usahakan untuk rakyat, dan nilai juga apa lagi yang mampu saya laksanakan sekiranya Allah mengizinkan BN diberi mandat untuk mempertahankan kerusi N32 Endau,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, kata Kak Awi, kemenangan BN ingin meneruskan kesinambungan agenda kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang masih belum selesai.
“Insya-Allah, masih banyak lagi kebajikan dan pembangunan yang boleh saya bawa untuk masyarakat di N32 Endau.
“Saya mahu terus bekerja, menyelesaikan masalah rakyat dan memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati hasil pembangunan yang lebih menyeluruh,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa mandat rakyat perlu diberikan kepada pemimpin yang telah terbukti berkhidmat, bukannya kepada pihak yang hanya lantang berpolitik tetapi gagal menawarkan penyelesaian sebenar kepada keperluan rakyat. – UMNO Online
