Rakyat Buloh Kasap Jadi Saksi Khidmat Zahari, Bukti Komitmen BN
SEGAMAT, 9 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip berkata rakyat di kawasan itu sendiri menjadi saksi kepada komitmen dan khidmat berterusan yang telah beliau berikan sepanjang dua penggal sebagai wakil rakyat.
Menurut beliau, meskipun kini menawarkan diri bagi penggal ketiga, ia bukan alasan untuk mengurangkan gerak kerja di lapangan, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus mendekati seramai mungkin pengundi menjelang hari pengundian.

“Walaupun saya dah masuk penggal ketiga, saya tidak mahu menjadikannya alasan untuk tidak bertemu pengundi. Sebaliknya, saya jadikan pengalaman ini sebagai kekuatan untuk terus turun padang, bertemu masyarakat dan mendengar sendiri suara mereka,” kata Pengerusi BN Parlimen Segamat itu lagi.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor itu berkata, hubungan yang terjalin sekian lama menyebabkan setiap kunjungan ke lapangan berlangsung dalam suasana mesra kerana masyarakat sudah mengenali dan biasa berinteraksi dengannya.
“Saya fikir pengundi Buloh Kasap boleh menjadi saksi bahawa saya sentiasa bersama mereka. Bila saya turun bertemu masyarakat, kami tidak kekok kerana hubungan ini telah lama dibina,” ujarnya.
Mengulas faktor anak tempatan, Zahari berkata ia hanyalah satu kelebihan tambahan, namun perkara paling penting ialah kemampuan seseorang wakil rakyat untuk berkhidmat, memahami keperluan kawasan dan sentiasa hadir ketika rakyat memerlukan.
Katanya, sepanjang dua penggal lalu pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk menaik taraf jalan luar bandar dan jalan pertanian, membina serta membaik pulih rumah, membantu sektor pertanian, selain memasang lebih 3,000 lampu solar demi keselesaan penduduk walaupun dijanjikan hanya 100 unit untuk sepenggal.
Dalam masa sama, beliau mengakui masih terdapat beberapa perkara yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya dan memohon maaf kepada penduduk atas segala kekurangan.
“Tiada manusia yang sempurna. Mungkin masih ada jalan yang belum dibaiki, lampu jalan yang belum mencukupi atau rumah yang belum sempat dibaik pulih. Namun saya memberi jaminan akan terus berusaha menyelesaikan isu-isu ini jika diberikan mandat sekali lagi.
“Saya berharap rakyat Buloh Kasap terus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional supaya segala usaha yang telah dimulakan dapat diteruskan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan ini,” katanya. – UMNO ONLINE
