Prestasi Terbukti, Rakyat Mahu BN Terus Tadbir Johor

KOTA TINGGI, 9 Julai – Sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) terus dizahirkan oleh rakyat sebagai pilihan terbaik untuk menjamin kestabilan politik serta mengekalkan kesinambungan pembangunan negeri.

Menerusi tinjauan UMNO Online, masyarakat mengakui bahawa calon-calon BN yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan sekadar muncul ketika musim pilihan raya, malah sentiasa berada di tengah masyarakat, mendengar denyut nadi rakyat dan tampil menghulurkan bantuan setiap kali diperlukan.

Rekod perkhidmatan yang terbukti itu menjadi bukti bahawa BN memahami keperluan rakyat dan mampu menyelesaikan pelbagai isu secara berkesan.

Ketua Peneroka FELDA Wilayah Johor, Shahrul Abdul Rahman, 71 tahun, menegaskan warga peneroka terus meletakkan keyakinan kepada BN kerana rekod pentadbiran kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Saya yakin dan percaya, sekiranya BN terus diberi peluang menerajui kerajaan negeri Johor, kerajaan akan terus membantu kami. Itulah yang kami harapkan supaya kerajaan negeri sentiasa mengingati rakyat dan memperbanyakkan lagi bantuan kepada Bangsa Johor. Atas sebab itu kami memilih BN.

“Pelbagai inisiatif kebajikan yang diperkenalkan termasuk Bakul Kasih Johor, bantuan kepada warga emas, suri rumah, ibu tunggal, anak yatim, penerima e-Kasih serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) membuktikan kepimpinan BN sentiasa bersama rakyat dan tidak pernah meminggirkan golongan yang memerlukan.

“Rekod prestasi itu menjadi bukti bahawa kerajaan BN bukan sekadar menabur janji, sebaliknya melaksanakan dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya komuniti FELDA dan Bangsa Johor,” katanya.

Bagi usahawan, Siti Shazwani Talib, 35 tahun menjelaskan, kesinambungan kepimpinan yang stabil amat penting bagi memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara konsisten demi manfaat seluruh Bangsa Johor.

“Pengekalan BN penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang sedang dilaksanakan tidak tergendala, agar Johor terus berkembang sebagai negeri ekonomi utama negara demi manfaat seluruh Bangsa Johor.

“Sudah pasti rakyat Johor tidak mahu kembali hadapi ketidaktentuan politik yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur, memperlahankan pembangunan dan mengganggu agenda kemajuan negeri,” jelasnya.

Pada masa bagi penaung kilang, Annor Abdullah 39 tahun, hubungan erat yang terjalin antara wakil rakyat BN dengan penduduk telah mewujudkan kepercayaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Hubungan rapat antara wakil rakyat BN dengan penduduk membuktikan komitmen sebenar dalam menjaga kebajikan rakyat, sekali gus menjadi faktor utama mengapa BN perlu terus diberikan mandat.

“Sekiranya rakyat sekali lagi memberikan mandat kepada BN untuk menerajui Johor, kerajaan negeri diyakini akan meneruskan agenda membantu rakyat serta menunaikan segala janji yang telah dibuat,” jelasnya.

Tambah beliau, harap rakyat membuat pilihan yang tepat dengan mengekalkan BN sebagai kerajaan negeri demi memastikan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan Johor terus dipertahankan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO