Onn Hafiz Tidak Pernah Khianat – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 9 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tidak pernah khianat sebaliknya mempertahankan kerajaan BN di negeri itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berkata demikian menolak tuduhan terbabit apabila Onn Hafiz mengumumkan BN akan bertanding 56 kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tegasnya, Onn Hafiz wajib disokong dan didukung supaya ada kerajaan yang kuat kerana kerajaan BN Johor bukan seperti Kerajaan Perpaduan di Putrajaya malah telah dibentuk sebelum itu.

“Onn Hafiz wajib disokong dan didukung supaya Johor terus mempunyai kerajaan yang kuat. Beliau tidak pernah khianat, sebaliknya mempertahankan kerajaan BN Johor.

“Ya, anak muda tapi semarak subuh pergi tiap hari. Beliau membuktikan kepimpinan melalui kerja keras dan komitmen yang tinggi kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pengundi sempena kempen PRN Johor, malam tadi.

Mengulas pencapaian kerajaan negeri, beliau berkata sepanjang tempoh empat tahun, tiga bulan dan 19 hari pentadbiran Onn Hafiz, sebanyak 80,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan di seluruh Johor hasil kemasukan pelaburan dan pembangunan ekonomi.

Katanya, bagi penggal akan datang, BN Johor melalui manifestonya meletakkan sasaran lebih besar iaitu mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan, termasuk 100,000 pekerjaan baharu bergaji premium.

“Saya sendiri akan membantu Bangsa Johor untuk mencapai sasaran ini. Johor mempunyai potensi besar dan kita mahu lebih ramai anak tempatan menikmati pekerjaan berkualiti dengan pendapatan yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau turut menolak dakwaan pembangkang berhubung isu perumahan, sebaliknya menegaskan kerajaan BN di bawah kepimpinan Onn Hafiz telah memperbanyakkan penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat.

“Pengundi perlu membuat perbandingan berdasarkan rekod dan fakta, bukannya dakwaan. Apa yang dijanjikan telah dilaksanakan dan saya yakin Onn Hafiz mampu melakukan lebih banyak lagi pada penggal akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan kemenangan calon-calon BN amat penting bagi memperkukuhkan kerajaan negeri dan memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.

Beliau turut memberi komitmen untuk terus membantu Johor sekiranya BN sekali lagi diberikan mandat oleh rakyat.

“Jika pengundi memberikan mandat semula kepada BN, saya akan terus turun ke Johor membantu kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat demi memastikan pembangunan dapat dipercepatkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa BN merupakan komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun Johor ditadbir sepenuhnya oleh BN.

“Pilihlah calon-calon BN kerana BN juga adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun BN hanya mempunyai 30 Ahli Parlimen tapi tanpa 30 kerusi itulah Kerajaan Perpaduan tidak dapat dibentuk. BN menjadi tonggak yang memantapkan kerajaan hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor agar terus memberikan kepercayaan kepada BN demi mengekalkan kestabilan politik, memperkukuhkan pentadbiran negeri dan memastikan agenda kemajuan serta kebajikan rakyat dapat diteruskan.

Turut hadir dalam program tersebut ialah calon BN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad bersama Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Hairi A. Malik serta kepimpinan bahagian serta jentera tempatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO